Anda di sini

Mampukah Belia Malaysia Majukan Negara?

A: “Pakcik, saya rasa pakcik patut lapangkan masa mendidik orang ramai bagaimana gunakan Touch ‘n Go… jam tangan ini hebat tapi saya rasa pakcik patut ajar mereka lebih lagi.”

B: “Ya ke? Tapi pakcik dah banyak ajar orang ramai.”

A: “Ya, tapi rasanya pakcik belum buat secukupnya.”

Perbualan tersebut adalah di antara seorang budak lelaki berumur 10 tahun dengan Ketua Pegawai Eksekutif Touch ‘n Go, Syahrunizam Samsudin, mengenai ‘Time Traveller‘ – jam tangan yang berfungsi seperti kad Touch ‘n Go.

Dalam temu bual dengan Leaderonomics baru-baru ini, Syahrunizam (atau Nizam, nama singkatan yang digemarinya) berkata beliau terkejut dengan tahap kematangan dan kebolehan berfikir budak lelaki itu, sama sekali tidak serupa dengannya pada usia itu dahulu.

Bagaimana ini boleh berlaku? Apa yang membuatkan generasi muda kini berbeza daripada generasi dahulu?

Potensi mereka hari ini adalah bayangan sekilas masa hadapan

Kata Nizam, generasi muda kini telah disemai dengan nilai dan norma yang diturunkan daripada generasi ibu bapa dan datuk nenek mereka. Tambahan, minda mereka lebih berkembang dengan adanya akses mudah kepada pendidikan dan informasi di Internet.

“Itulah sebabnya generasi muda telah sampai ke tahap lebih tinggi berbanding kita yang lebih tua ini!” katanya.

Pernyataan ini tepat sekali jika anda mengikuti sesi dialog Transformasi Kebangsaan 2050 anjuran kerajaan yang melibatkan 1.5 juta belia Malaysia di serata negara.

Para belia yang menghadiri sesi-sesi itu telah menyuarakan hal-hal berkaitan, antaranya, kesihatan mental kanak-kanak, pemerdagangan manusia, membina masyarakat berfikiran sivik, dan mengadakan sistem pendidikan holistik. Ini menunjukkan mereka berfikiran ke hadapan dan peka dengan persekitaran sekeliling mereka.

Bagaimana kita memimpin mereka ke jalan yang betul?

Boleh dikatakan bahawa belia Malaysia hari ini adalah bijak, inovatif, kreatif dan mempunyai tahap pengetahuan am yang tinggi.

Tetapi, untuk mereka menterjemahkan kebolehan ini kepada tindakan supaya dapat memacu Malaysia ke tahap selanjutnya, mereka harus dilengkapi dengan sokongan dan bimbingan yang sewajarnya.

Kata Nizam, saat-saat kritikal – atau masa mencabar yang dilalui seseorang dalam hidupnya – adalah elemen penting yang membentuk sifat perwatakan seseorang, dan mempengaruhi bakal diri mereka.

“Pelumba basikal kebangsaan, Azizulhasni Awang, menghadiahkan saya sebuah lukisan yang ditandatangani dan ditulis dengan perkataan ‘derita’. Lukisan itu mengingatkan saya kepada setiap pengalaman yang perlu saya lalui untuk menimba ilmu baharu,” katanya.

Nasihatnya kepada ibu bapa, pendidik dan mentor adalah supaya berkongsi pengalaman serta cabaran yang ditempuhi dan bagaimana mereka mengatasinya. Anak-anak muda juga perlu diberi ruang untuk membuat kesilapan dan belajar daripadanya, kerana itu yang akan memberi ketahanan dalam diri mereka.

Perkara lain yang ditekankan Nizam adalah kepentingan menyemai nilai penting dalam diri anak-anak muda.

Mengakui bahawa dirinya masih berfikiran tradisional dalam beberapa perkara, Nizam berkata budi bahasa kita, makanan dan cara berbahasa yang unik (menggunakan ‘lah’ dan menggabungkan dua atau tiga bahasa) menunjukkan keunikan bangsa Malaysia, dan semua aspek ini membantu merangsang perasaan kasih dan bangga pada Malaysia.

“Semasa zaman persekolahan saya, dalam era 70an dan 80an, saya berasa yang saya berada di dalam kelompok rakyat Malaysia yang berfikiran serupa. Kami semua ingin berbuat yang terbaik untuk negara. Kami ingin pergi ke luar negeri untuk menjadi kebanggaan ibu bapa dan pulang menabur bakti pada masyarakat,” kongsi Nizam.

Ibu bapa Nizam serta persekitaran mengajarnya erti kebanggaan dan kepentingan semangat perpaduan dan cintakan negara.

“KALAU KITA INGIN MAJU SEBAGAI SEBUAH NEGARA, ASAS DAN NILAI YANG KUKUH HARUS TERUS DISEMAI DAN DITURUNKAN KEPADA GENERASI MUDA SUPAYA MEREKA MENGERTI AKAN PERANAN YANG PERLU MEREKA MAINKAN.”

Bagaimana Touch ‘n Go membina pemimpin muda?

Menerajui syarikat yang memperkenalkan sistem pembayaran elektronik pertama negara sejak dua tahun lalu, Nizam membawa bersama-samanya semangat yang tinggi kepada para pekerja di Touch ‘n Go. Bagaimana?

Kuncinya adalah dengan menyemai rasa tujuan dalam setiap pekerja — ini adalah elemen penting bagi bakat muda. Mereka perlu merasa kerja mereka membantu memudahkan kehidupan orang ramai.

Selain itu, beliau juga mengamalkan langkah-langkah berikut:

Kepimpinan melalui teladan

Salah satu cara Nizam mempersiapkan para pekerjanya untuk menjadi pemimpin adalah melalui sukan.

Apa yang beliau ingin sampaikan adalah biarpun beliau berjawatan ketua pegawai eksekutif tetapi apabila berada di lapangan, beliau bukan lagi kapten tetapi hanya salah seorang anggota pasukan.

“Saya ingin mereka sedar bahawa seorang pemimpin boleh juga menjadi pengikut, dan begitu juga seorang pengikut boleh menjadi pemimpin,” katanya.

Menyesuaikan diri dengan bakat muda

Bakat muda mempunyai cara berfikir dan keperluan yang berbeza daripada ‘Gen X’ dan ‘Baby Boomers’, misalnya keperluan untuk fleksibiliti, kebebasan dan pemerkasaan.

Oleh itu, Nizam berkata syarikat-syarikat hari ini hendaklah fleksibel untuk menyesuaikan proses tanpa mengabaikan nilai teras dan pegangan syarikat untuk membantu bakat-bakat muda ini ‘terbang tinggi’.   

Dekat di hati

Apa yang jelas sepanjang perbualan kami dengan Nizam adalah kasihnya terhadap para pekerjanya. In kelihatan dalam cara beliau berinteraksi dengan mereka, yang membuahkan rasa kekitaan dan perpaduan dalam syarikat.

Selain daripada sesi perjumpaan bersama pekerja pada setiap suku tahun, Nizam juga meluangkan masa mengadakan sesi teh tarik bersama 30 pekerja dalam satu-satu masa pada setiap hari Jumaat. Beliau menggelarnya ‘sesi terapi’ di mana mereka membincangkan perkara berbangkit. 

“Kami mungkin tidak dapat mencapai penyelesaian pada sesi-sesi ini, tetapi kami memberi mereka platform untuk menyumbangkan idea kerana saya tidak mungkin ada jawapan untuk setiap persoalan,” katanya.

Selain itu, syarikat juga mempunyai seorang jurulatih sukan yang mengendalikan pelbagai sesi setiap hari.

Nizam juga bercakap mengenai kempen Projek57 Unity Ride di mana beliau mengambil bahagian sebagai pelumba basikal bersama-sama peserta berbilang usia dari syarikat-syarikat lain.

Inisiatif Unity Ride ini, yang dilancarkan oleh Projek57 bersama Touch ‘n Go pada 6 Ogos, ialah penjelajahan berbasikal seluruh negara yang terdiri daripada sembilan peringkat. Matlamatnya adalah untuk menggalakkan perpaduan dan mengetengahkan cerita-ceritamengenai keindahan rakyat Malaysia.

Berpandukan kepada pengalaman Nizam dalam peringkat pertama, di mana pelumba menaiki basikal sejauh 57km dari Dataran Merdeka ke IOI City Mall di Putrajaya, Nizam berkata: “Acara itu sungguh simbolik. Ia menunjukkan bahawa apabila kita sebagai rakyat Malaysia menumpukan perhatian kepada sesuatu perkara, kita akan berjaya melakukannya.”

“Melalui sukan dan aktiviti sosial seperti inilah kita dapat mencapai perpaduan dalam sesebuah organisasi.”  

Berganding bahu membentuk bangsa

Menurut sebuah artikel dalam akhbar The Star baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata polarisasi kaum masih bertapak di kalangan anak-anak muda, terutamanya di sekolah.

Hal ini, di samping isu politik dan ekonomi yang membelenggu negara kini, mencabarkan nilai-nilai dan asas kehidupan yang dipegang oleh kaum belia.

Pengasas bersama Projek57 Collin Swee berkongsi pengalaman yang dilalui bersama-sama para pelajar Sekolah Menengah Sains Dungun, Terengganu, salah satu tempat berhenti sepanjang Unity Ride ini.  

“Semasa bengkel perpaduan yang kami kelolakan berkenaan hubungan kaum, pelajar-pelajar ini menyuarakan keinginan berjumpa dengan lebih ramai pelajar daripada kaum lain (memandangkan 100% pelajar di sekolah itu adalah daripada kaum Melayu).

“Mereka ingin memeluk kepelbagaian. Mereka sedar masyarakat Malaysia semakin hari semakin jauh dipisahkan perkauman, dan ini tidak baik. Mereka memberi idea bagaimana mengatasi masalah perkauman. 

“Kita selalu berfikiran bahawa mereka yang tinggal di tempat-tempat yang berjauhan sebegini tidak tahu atau kisah mengenai perkara seperti ini. Tetapi pengalaman yang saya lalui memberi saya harapan!”

Inilah sebab mengapa ibu bapa, guru-guru, kerajaan, syarikat-syarikat dan masyarakat memainkan peranan penting dalam kehidupan generasi muda.

Mereka perlu memberi peringatan kepada generasi muda tentang nilai-nilai positif yang diajarkan oleh nenek moyang mereka dan bagaimana ia penting untuk pembangunan negara.

Mempunyai idea yang pintar dan inovatif adalah bagus, tetapi mengerjakannya sebagai satu bangsa adalah cara kita dapat maju sebagai sebuah negara.

Ikutilah www.leaderonomics.com/bm untuk artikel, podcast dan video kepimpinan yang pasti membantu kembara kepimpinan anda! Untuk maklumat lanjut, sila e-mel editor@leaderonomics.com

SUMBER