Anda di sini

‘Justice League’ perlu menangi pengkritik filem dan juga penjahat

Advertisement
__alt__

MENYELAMATKAN Metropolis dan Gotham City daripada genggaman penjahat hebat mungkin tekanan cukup kuat bagi pejuang memakai mantel biasa tetapi barisan pelakon filem ‘Justice League’ yang akan datang turut berdepan satu lagi musuh yang tidak kurang menakutkan: pengkritik filem.

 Filem itu merupakan siri terbaharu dari kumpulan adiwara komik DC – siri yang mengundang kritikan yang tidak begitu positif, kecuali bagi ‘Wonder Woman’ pada musim panas lepas, dan gagal menandingi kutipan ‘box office’ oleh filem-filem adiwara terbesar yang disajikan oleh pesaingnya Marvel.

 Filem tersebut memaparkan beberapa watak utama DC dan bintang ‘box office’ termasuk Ben Affleck sebagai Batman, Gal Gadot sebagai Wonder Woman, Jason Momoa sebagai Aquaman dan Ezra Miller sebagai The Flash.

 Gadot menerima pujian pengkritik dan mencapai kejayaan ‘box office’ bagi ‘Wonder Woman’, yang diarahkan oleh Patty Jenkins, dan dia yakin pengalaman dari filem itu membantunya melakonkan semula watak itu dalam ‘Justice League’.

 “Saya hampir tidak ada peralihan dari Wonder Woman kerana saya menyiapkan Wonder Woman dan pada keesokan hari saya pergi ke set untuk mula bekerja bagi Justice League,” katanya kepada Reuters.

 “Saya sudah dalam watak itu dan saya hanya perlu melayan cerita dan konteks bagi setiap babak dan hanya hadir dan melayan visi pengarah.”

Momoa menaruh harapan yang tinggi bagi prospek filem itu, dan memberitahu Reuters “saya benar-benar berharap peminat seronok dengan apa Zack (Snyder, pengarah) dan saya sudah buat bersama Aquaman”.

 Filem sebelum ini, ‘Batman Vs. Superman: Dawn of Justice’ pada 2016, mengaut lebih AS$870 juta (RM3.74 bilion) di ‘box office’ global menurut laman sesawang hasil pendapatan filem Box Office Mojo, tetapi menerima penarafan 27 peratus dalam laman agregasi reviu filem Rotten Tomatoes.

 Satu lagi kemasukan baru-baru ini dalam francais DC, ‘Suicide Squad’ pada 2016, dibuka kepada sambutan pengkritik yang tidak kurang buruk, dan mengaut kirakira AS$745 juta (RM3.2 bilion) di ‘box office’ global.

 Walaupun kedua-dua jumlah bukan angka yang kecil, ia kerdil jika dibandingkan dengan filem-filem hit besar Marvel – ‘The Avengers’ pada 2012 dan ‘Avengers: Age of Ultron’ pada 2015, yang masing-masing mendapat AS$1.5 bilion (RM6.45 bilion) dan AS$1.4 bilion (RM6.02 bilion).

 Bagaimanapun, penonton pada 2017 sukakan ‘Wonder Woman’, yang mengutip lebih AS$80 juta (RM344 juta) lebih banyak di ‘box office’ Amerika Syarikat berbanding ‘Dawn of Justice’, selain ternyata disukai pengkritik, dengan mata 92 peratus di Rotten Tomatoes.

  Reuters

Advertisement