Anda di sini

Idea ibu tumpang daripada perspektif agama

Advertisement
__alt__

KETIDAKSUBURAN adalah suatu realiti yang menyakitkan bagi sesetengah pasangan.

 Justeru, Assisted Reproductive Technologies (ART) telah menjadi begitu popular kini.

 ART merupakan teknologi yang digunakan untuk mencapai kehamilan melalui prosedur tertentu.

 Terdapat beberapa kaedah dalam ART antaranya In Vitro Fertilization (IVF) dan Ibu Tumpang.

 Isu ibu tumpang sering dilanda pelbagai kontroversi.

 Kontroversi yang semakin bertambah dari tahun ke tahun menyebabkan banyak isu etika ibu tumpang masih tidak dapat diselesaikan sehingga ke hari ini.

 Istilah ibu tumpang atau penyewaan rahim (Surrogate Mother) merujuk kepada kaedah menumpang rahim seseorang wanita yang berkeupayaan untuk hamil secara sukarela atau dibayar dengan kadar tertentu.

 Proses ini dilakukan dengan memindahkan benih wanita (ovum) yang telah disenyawakan dengan benih lelaki (sperma) yang kebiasaannya suami isteri dan seterusnya janin tersebut dikandungkan oleh ibu tumpang itu sehingga dilahirkan dan akan menyerahkan bayi itu kepada pemilik ovum tersebut sebagai ibu hakiki.

 Kaedah ibu tumpang ini dilakukan kerana seseorang wanita itu tidak mempunyai harapan untuk mengandung disebabkan mengalami masalah seperti penyakit yang menyebabkan kematian janin sebelum sempurnanya kandungan serta berisiko kehilangan nyawa atau mempunyai kecacatan pada rahim mereka yang menghalang untuk mengandung dan melahirkan anak ataupun bagi wanita yang ingin memiliki anak tetapi telah putus haid (menopaus).

 Kebelakangan ini, kebanyakan golongan wanita kaya yang bekerjaya tidak mahu melalui kehamilan sendiri.

 Mereka juga sanggup mengupah ibu tumpang.

 Perkara ini menjadi salah satu punca utama bagi golongan wanita yang tidak berpendidikan tinggi dan miskin mempunyai tanggapan bahawa menjadi ibu tumpang adalah satu kerjaya.

 Hal ini perlu dipandang serius, kerana idea ibu tumpang mempunyai nilai komersial yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

 Oleh hal yang demikian, terdapat negara yang telah mengetatkan undang-undang dalam membanteras amalan ibu tumpang.

 Ibu tumpang komersial dianggap sah di Ukraine, California dan Amerika Syarikat.

 Di Amerika Syarikat, ibu tumpang dianggap sah jika disertai dengan kontrak, di mana ibu tumpang tersebut tidak mempunyai hak untuk menuntut anak.

 Walaupun di India ibu tumpang dianggap sah suatu masa dahulu, ia telah mula diharamkan sekarang kerana tuntutan bayaran yang agak tinggi bahkan menjadi satu perniagaan yang berleluasa.

 Undangundang yang ketat seperti pasangan suami isteri yang kurang daripada lima tahun, ibu bapa tunggal dan pasangan gay tidak dibenarkan untuk menyewa ibu tumpang.

 Daripada perspektif agama pula, Buddha menerima amalan ibu tumpang, manakala Islam, Kristian, Judaisme dan Hindu tidak menerima idea ini.

 Daripada perspektif agama Islam, isu ibu tumpang dianggap haram sama sekali.

 Ini dirujuk oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa hukum ibu tumpang adalah haram.

 Ibu tumpang adalah menggunakan rahim wanita lain dengan benih lelaki yang bukan suaminya bagi menghasilkan zuriat.

 Ia melanggar hukum dan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

 “Sesungguhnya mereka yang menjaga kehormatan selain daripada pasangan.

 (Al-mu’minun:5) Barang siapa yang mengingini selain daripada yang sedemikian, mereka ialah golongan yang tercela”.

 (Al Mu’minun:7) Selain itu, hasil daripada ibu tumpang akan menimbulkan kekeliruan terhadap keturunan dan nasab zuriat.

 Sedangkan dalam Islam, setiap anak berhak dinasabkan kepada ibu bapanya.

 Namun dengan adanya zuriat yang terhasil daripada ibu tumpang menimbulkan kekeliruan sama ada ibu yang memberikan telur ovum ataupun yang menumpangkan rahimnya.

 Nabi SAW juga telah bersabda bahawa sesiapa yang dinasabkan kepada seseorang selain ayahnya (ibu bapa) telah melakukan perbuatan penolakan Islam (Kufur) yang diriwayatkan oleh Hadis Bukhari dan Muslim.

 Menjaga keturunan adalah fokus utama kehidupan manusia yang merupakan asas kepada kesejahteraan umat manusia.

 Bagi mewujudkannya, disyariatkan perkahwinan bagi kelangsungan keturunan, galakan mengahwini wanita yang subur dan poligami.

 Sesungguhnya Allah menguji hamba-Nya yang sukar memiliki anak, namun carilah jalan yang sebaik-baiknya.

 Walaupun terdapat mitos Hindu yang menyatakan bahawa ibu tumpang dipraktikkan pada zaman dahulu, dari segi agama dan budaya amalan ini tidak diterima.

 Hal ini demikian kerana, dalam agama Hindu dipercayai bahawa pembentukan sahsiah dan pendidikan seseorang bermula dari alam rahim.

 Selain itu, asal usul genetik anak tersebut tidak dapat diketahui jika dikandung oleh ibu tumpang.

 Dalam agama Hindu juga, jika pasangan suami isteri mempunyai sebarang komplikasi dalam kehamilan, mereka dibenarkan untuk mencuba inseminasi buatan (artifi cial insemination) seperti IVF tetapi tidak dibenarkan untuk menyewa ibu tumpang.

 Terdapat kajian oleh Joseph G.  Schenker, (2005) dalam ‘Assisted Reproductive Practice: Religious Perspectives’ mengenai perspektif agama Kristian terhadap isu ibu tumpang.

 Agama Kristian didasari dengan kepercayaan utama iaitu Roman Katolik, Protestan dan Ortodok.

 Kepercayaan Roman Katolik yang berasaskan Bible menyatakan bahawa perkahwinan merupakan satu-satunya medium untuk mendapatkan anak.

 Ia mematuhi prinsip yang dipegang oleh penganut Kristian bahawa pembiakan tidak dapat dipisahkan daripada kesatuan fi zikal ibu bapa, justeru dari sudut pandangan moral, anak-anak dihasilkan melalui perkahwinan.

 Walau bagaimanapun, sesebuah perkahwinan tidak menuntut pasangan untuk mempunyai anak.

 Namun, hak dalam proses pembiakan ini adalah perlu secara semula jadi.

 Dalam penyelidikan ‘A Christian Ethical Perspective on Surrogacy’ yang telah dijalankan oleh Mark E. Lones, (2016) beliau menggariskan empat posisi etika yang diambil kira bagi isu ibu tumpang.

 Antaranya, Etika Konservatif, Etika Permitif, Etika Modifi kasi Permitif dan Ibu Tumpang Angkat.

 Secara keseluruhannya, tiga daripada empat posisi etika ibu tumpang ini menggariskan bahawa ia hanya boleh dilakukan melibatkan pasangan yang telah berkahwin.

 Dalam erti kata lain, Kristian juga memegang prinsip yang sama dengan agama Islam iaitu menolak kaedah ibu tumpang.

 Mark E. Lones, (2016) juga menyatakan, hampir semua ahli bioetika Kristian bersetuju bahawa kebanyakan kaedah ibu tumpang membawa masalah daripada aspek teologi dan moral.

 Antaranya membabitkan eksploitasi wanita (penyewaan rahim), penjualan kanakkanak, pelanggaran perjanjian perkahwinan dan teknologi yang merosakkan pembiakan embrio.

 Kaedah ibu tumpang memberi kesan kepada kecelaruan identiti anak dan mengganggu hubungan semula jadi antara suami isteri dalam perkahwinan, Joseph G. Schenker, (2005).

 Artikel ini disumbangkan oleh Nandaroobini Rajderan, Nor Albaniah Iskandar, Siti Noraida Yaacob, Noriza Mohamad dan Nor Ruzila Ramly dari Fakulti Pendidikan, UKM.

Advertisement