Anda di sini

Pesuruhjaya PAS Perak kena bayar RM200,000 kepada Nizar

Advertisement
 Mahkamah Sesyen semalam memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepada Mohammad Nizar berkaitan saman fitnah dua tahun lalu. — Gambar Bernama
BAYAR DENDA: Mahkamah Sesyen semalam memerintahkan Razman membayar RM200,000 kepada Mohammad Nizar berkaitan saman fitnah dua tahun lalu. — Gambar Bernama

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini semalam memerintahkan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria membayar RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkaitan saman fitnah yang difailkan dua tahun lalu.

Mohammad Nizar, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering memfailkan saman fitnah sebanyak RM3 juta terhadap ke atas Razman di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Ogos 2015, sebelum kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Hakim D. Sunita Kaur Jessy membuat keputusan itu selepas mendapati Razman, selaku defendan, bertanggungjawab terhadap kenyataan yang disiarkan di akhbar Sinar Harian, 2 Jun 2015, berunsur fitnah terhadap Mohamad Nizar sebagai plaintif.

Mohamad Nizar, yang kini Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH), memfailkan saman itu terhadap dua perenggan dalam artikel berkenaan yang mengaitkannya ‘menyokong konsep negara sekular yang diperjuangkan DAP dan bahawa dia perlu menyertai DAP’.

Plaintif diwakil Asmuni Awi manakala Razman diwakili Mohd Zamri Ibrahim dan Ahmad Azhar Sharin.

Bercakap kepada pemberita di luar mahkamah, Asmuni berkata plaintif berasa lega dengan keputusan tersebut dan memohon defendan membayar jumlah itu dalam tempoh 14 hari daripada  tarikh penghakiman. “Kami selalu mengatakan kos fitnah tidak murah.

Walaupun keputusan itu, defendan terus memfitnahkan Nizar menerusi tulisannya, kami akan mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam kami jika beliau mahu meneruskan perkara itu,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Zamri berkata alasan penghakiman bahawa plaintif berjaya membuktikan artikel berkenaan ada unsur fitnah, penerbitan sudah berlaku dan tuntutan balas serta bukti dikemukakan defendan tidak cukup kuat untuk menolak saman plaintif.

“Saya akan cuba menasihatkan anak guam untuk memohon penangguhan keputusan itu atau membuat rayuan di Mahkamah Tinggi,” katanya. — Bernama

Advertisement