Anda di sini

Hobi jadi sumber jana pendapatan tambahan

Advertisement
__alt__

KADANGKALA hobi boleh mendatangkan hasil. Ini kerana bakat dan kemahiran yang ada dalam hobi digemari boleh ditukar menjadi satu kerjaya yang menjana pendapatan lumayan.

Tidak kiralah kerjaya itu dilakukan secara sepenuh masa ataupun sampingan, ia tetap mendatangkan hasil.

Hobi disertai semangat mahu membantu menambah pendapatan suami itulah menjadi pendorong Norsafina Mohd Zuki, 28, melakukan kerjaya sampingan iaitu membuka perniagaan kerepek popia secara atas talian.

“Melihat peluang yang ada dalam kerepek buatan ibu mentua saya, saya mengambil inisiatif untuk belajar daripada beliau dan kemudian memulakan perniagaan dengan mengambil tempahan daripada rakan-rakan.

“Syukur, perniagaan yang saya mulakan sebagai hobi ternyata mendapat respons positif daripada rakan-rakan termasuk sahabat dari media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Dari situ, sedikit demi sedikit, saya tambah baik produk saya dengan mempelbagaikan perisa serta aspek pembungkusan dan pemasaran yang ada,” jelasnya yang dikenali sebagai Puan Nor Safina dalam laman Facebooknya dengan produk kerepek popia POWER SNACK.

“Saya akui kuasa FB memang ‘power’ dalam membantu saya meningkatkan tempahan.

“Setiap kali saya ‘post’ wajah model atau pelanggan di laman sosial, saya akan menerima maklum balas yang menggembirakan.

“Biasanya, kawan-kawan di laman sosial pula akan menekan butang ‘share’ untuk dipaparkan di laman mereka pula. Itu belum lagi termasuk cerita dari mulut ke mulut.

“Kesemua kaedah itu membuahkan hasil dan saya bersyukur dengan pencapaian sekarang,” katanya yang tidak menang tangan memenuhi tempahan yang semakin meningkat.

Menurutnya, kerepek yang ditawarkannya itu dihasilkan di rumah sahaja.

Apa yang pasti, Norsafina memperoleh kepuasan dalam melakukan apa yang digemarinya itu, selain bersyukur kerana dapat menambah pendapatan.

“Pendapatan yang diraih juga sangat berbaloi dan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban suami,” katanya yang berhasrat untuk mengembangkan lagi sayap perniagaan dalam talian itu.

Katanya, selain membuat kerepek, beliau turut mempunyai kemahiran dalam bidang solekan.

Malah, beliau ingin belajar kemahiran mendandan rambut bagi melengkapkan tawaran pakej kecantikan yang disediakannya.

“Satu masa nanti, saya berhasrat ingin menawarkan pakej kecantikan dan solekan.

“Namun buat masa sekarang, saya fokus dengan bidang membuat kerepek,” tambahnya yang menawarkan khidmat solekan atas permintaan apabila tidak sibuk dengan tempahan kerepek popianya.

Advertisement