Anda di sini

Dipenjara tiga bulan bersalah ugut rakan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita juga rakan senegaranya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Pirman Hollang, 26, dari Pari Pari Sulawesi Selatan, Indonesia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Syarifah Devi Dian Sari Astuti dengan mencekik leher mangsa menggunakan tangannya dan mengugut akan membakar dirinya hidup-hidup.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 30 Oktober lalu di hadapan bilik sewa di tingkat dua sebuah lot di Jalan Bendahara di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement