Anda di sini

Remaja mengaku bersalah tuduhan ugut bunuh abang

Advertisement

MIRI: Seorang remaja lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret semalam atas tuduhan mengugut mahu membunuh abang kandungnya.

Bagaimanapun, Majistret Zuraini Ali Musa menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan lanjut kes bagi mendengar laporan sosial tertuduh yang merupakan pesalah muda.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan RM1,000 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

Roland Sanjan Berayun, 19, dari Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini didapati telah melakukan ugutan jenayah dengan mengugut hendak membunuh abang kandungnya, Sylvester Gandai Berayun, 22, sambil mengacukan sebilah parang ke arah muka mangsa.

Sebelum itu, tertuduh juga telah beberapa kali menampar muka mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 5.15 petang, 4 November lalu di rumah keluarga di Quadruplex Bandar Baru Permyjaya di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor, manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement