Anda di sini

Dr Nuing Jeluing dipilih sebagai senator

Advertisement

KUCHING: Dr Nuing Jeluing dipilih sebagai senator selepas pencalonannya mendapat persetujuan majoriti ahli dewan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) di sini, semalam.

Pencalonan beliau dicadangkan Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom  dan disokong Menteri Muda Hal Ehwal Korporat Abdullah Saidol.

Dr Rundi semasa mengemukakan usul mencadangkan pencalonan Dr Nuing berkata pemilihan itu sebagai menggantikan pelantikan Lihan yang telah dilantik menerusi DUN sebagai senator yang berakhir pada 7 Disember 2017.

“Tempoh bagi beliau (Lihan) selama dua penggal berakhir pada 7 Disember 2017 dan atas sebab itu saya turut mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas sumbangan dan dedikasi beliau selama ini.

“Dengan berakhirnya tempoh itu maka ada kekosongan senator perlu diisi dan saya mencadangkan pencalonan Dr Nuing Jeluing sebagai senator bagi Dewan Negara,” katanya pada Persidangan DUN di sini, semalam.

Dr Rundi menegaskan, Dr Nuing merupakan ketua cawangan PBB Kakus selain menyandang jawatan ahli Majlis Tertinggi parti itu.

Selain itu, Dr Nuing juga merupakan bekas ketua pegawai perubatan Shell Malaysia Berhad selain pernah berkhidmat di hospital kerajaan sejak 1996.

Dalam pemilihan semalam, Dr Nuing berdepan saingan daripada calon dikemukakan barisan pembangkang iaitu aktivis, Nicholas Bawin Angat yang dicadangkan Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan disokong Pengerusi DAP Chong Chieng Jen.

Pemilihan Dr Nuing sebagai senator menggantikan Datuk Lihan Jok dimaklumkan Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.

“Bagi calon pertama Nicholas Bawin Anggat, beliau menerima 10 undi dan calon kedua Dr Nuing menerima 69 undi pada pemilihan ini.

“Maka itu dengan keputusan berkenaan saya dengan ini mengisytiharkan Dr Nuing Jeluing dipilih sebagai senator,” katanya semasa mengumumkan keputusan pencalonan.

Setiausaha DUN selepas itu memberitahu, pihaknya menerima surat rasmi daripada Dr Nuing pada 31 Oktober 2017 yang menyatakan kesanggupan beliau berkhidmat sebagai senator sekiranya dipilih.

Advertisement