Anda di sini

Cedera adik perempuan, abang dipenjara dan denda

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga hari dan denda RM1,500 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret Miri kelmarin kerana kesalahan mencederakan adik perempuannya.

Hukuman itu dijatuh Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan  fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Mohamad Sofian Yusuf Osman, 35, dari Kampung Piasau Utara di sini telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan ke atas adik perempuannya, Siti Noraine Osman, 32, dengan memukul mangsa menggunakan tangan di bahagian tangan, kepala dan belakang hingga menyebabkan adiknya itu mengalami kesakitan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10 pagi, 4 November lalu di rumah keluarganya di Kampung Piasau Utara di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement