Anda di sini

Setem peringatan sempena 150 tahun DUN dilancar

 Abang Johari (dua kiri) menunjukkan setem yang dilancarkan. Turut kelihatan (dari kanan) Uggah, Asfia, Jailani dan Awang Tengah.
PELANCARAN: Abang Johari (dua kiri) menunjukkan setem yang dilancarkan. Turut kelihatan (dari kanan) Uggah, Asfia, Jailani dan Awang Tengah.

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dengan kerjasama Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) mengeluarkan Setem Pos Peringatan sempena sambutan Ulang Tahun Ke-150 Penubuhan DUN.

Dilancarkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg di Kompleks DUN di sini, setem pos peringatan itu menggambarkan era perubahan bermula dengan persidangan pertama yang pernah diadakan di Bintulu pada 1867 sehingga penubuhan bangunan ikonik DUN Sarawak pertama kini.

Majlis pelancaran berkenaan semalam menyaksikan gimik di mana seorang posmen telah menghantar sendiri replika setem kepada Abang Johari sebelum ia dilancarkan secara rasmi.

Majlis berkenaan dihadiri dua Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Speaker DUN Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nasar, Timbalan Menteri Komunikasi Datuk Jailani Johari serta Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Dalam pada itu, setem yang dilancarkan termasuk cokmar melambangkan kuasa speaker dan ia dibuat semula untuk melambangkan zaman dan masa baharu bagi DUN pada hari ini untuk menggantikan cokmar yang telah digunakan selama lebih 30 tahun.

Bangunan baharu DUN telah dirasmikan Yang di-Pertuan Agong pada 27 Julai 2009.

DUN Sarawak adalah dewan perundangan yang tertua dan terulung sekali di Malaysia dan ditubuhkan Raja Muda Charles Brooke atas arahan Raja James Brooke melalui mesyuarat yang diadakan di sebuah perkampungan nelayan di Bintulu pada 8 September 1867.

DUN mula dikenali sebagai Majlis Umum dengan jumlah ahli dipilih seramai 21 orang yang diketuai Charles Brooke dan terdiri daripada enam pegawai Brooke serta 16 pemimpin masyarakat tempatan.