Anda di sini

Semua sekolah di New Delhi tutup

Advertisement

Tahap pencemaran dalam asbut tebal melebihi 70 kali ganda had selamat

 Para pelajar berjalan kaki ke sekolah dalam asbut tebal di New Delhi, semalam. — Gambar AFP
ANCAM KESELAMATAN: Para pelajar berjalan kaki ke sekolah dalam asbut tebal di New Delhi, semalam. — Gambar AFP

NEW DELHI: Delhi menutup semua sekolah semalam selepas pencemaran mencecah 70 kali paras selamat yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang mendorong doktor di ibu negara India untuk memberi amaran tentang kecemasan kesihatan awam.

Asbut kelabu tebal menyelubungi jalan di ibu kota paling tercemar di dunia, di mana ramai pejalan kaki dan penunggang motosikal memakai topeng atau menutup mulut mereka dengan sapu tangan dan selendang.

Laman sesawang kedutaan Amerika Syarikat menunjukkan konsentrasi PM 2.5 — partikel kecil yang paling bahaya kepada kesihatan — mencecah 700 pada awal pagi semalam, 70 kali garis panduan WHO mengenai pendedahan jangka panjang, sebelum ia menurun sedikit.

Ketika saya tiba di Delhi pada 1984, udara di bandar raya ini bersih. Tetapi hari ini, apabila saya turun kerja pada jam 4.00 pagi, saya tidak dapat melihat apa-apa,” kata seorang penjual teh tepi jalan Jeevanand Joshi.

Ini bukan kabus, ini bukan asap, dan ia ternyata membuatkan kami rasa sakit.”

Persatuan Perubatan India mengumumkan kecemasan kesihatan awam, dan menggesa pentadbiran untuk “membendung gejala ini”, manakala Lembaga Pencemaran Alam Sekitar memberi amaran bahawa keadaan dijangka bertambah buruk dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Tatkala kemarahan umum meningkat, kerajaan Delhi mengarahkan penutupan semua sekolah semalam. 

Kami memutuskan untuk menutup semua sekolah selama sehari, dan akan menilai situasi setiap sejam untuk melihat sama ada penutupan sedemikian perlu dilanjutkan,” kata timbalan ketua menteri Delhi, Manish Sisodia, kepada pemberita.

Hampir dua juta pelajar berdaftar di sekolah rendah di Delhi, menurut data kerajaan dari 2015.

Semua aktiviti luar turut dilarang di 6,000 sekolah di ibu negara sementara paras pencemaran kekal pada tahap serius.

Bandar raya dengan 20 juta penduduk itu mempunyai reputasi yang tidak dicemburui sebagai bandar raya penting paling tercemar di dunia, selalunya mengatasi Beijing.

Sejak 2014, ketika perangkaan WHO menunjukkan keseriusan krisis itu, pihak berkuasa di Delhi sudah menutup loji tenaga buat sementara waktu dan bereksperimen dengan mengeluarkan sebahagian kereta dari jalan raya.

Namun langkah sementara itu setakat ini tidak ada sebarang kesan.

Kualiti udara Delhi biasanya bertambah buruk menjelang musim salji kerana udara lebih sejuk memerangkap pencemar dekat tanah, yang menghalangnya daripada menyurai ke dalam atmosfera, satu fenomena yang dikenali sebagai inversi.

Tahap kelembapan tinggi dalam udara dan kekurangan angin bermakna gas-gas yang dikeluarkan terperangkap dalam alam sekitar, menurut Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat India.

Mercun yang dimainkan untuk meraikan perayaan cahaya Diwali di bandar raya itu menambah kepada adunan toksik yang dicipta oleh pencemaran dari enjin diesel, loji tenaga arang batu dan gas-gas perindustrian.

Masalah itu diburukkan lagi oleh pembakaran tunggul tanaman oleh petani selepas menuai di utara India, satu amalan yang masih biasa dijalankan walaupun ia dilarang oleh kerajaan.

Lembaga Pencemaran Alam Sekitar India, yang ditubuhkan oleh Mahkamah Agung untuk menangani isu itu, kelmarin mengarahkan penutupan tempat membakar batu-bata yang mengeluarkan debu dan menaikkan bayaran letak kereta untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Dari segi pencemaran udara, keadaan dijangka bertambah buruk lagi dalam tempoh beberapa hari akan datang,” Bhure Lal, ketua agensi tersebut, menyebut dalam satu kenyataan lewat kelmarin. — AFP

Advertisement