Anda di sini

Penerbangan Scoot hubungkan Kuching dan Singapura

Advertisement
 Pesawat A320 disambut meriah dengan pancutan air sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
SAMBUTAN MERIAH: Pesawat A320 disambut meriah dengan pancutan air sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

PELANCARAN laluan baharu dengan kekerapan harian menghubungkan Singapura dengan Kuching oleh Scoot Tigerair Pte Ltd (Scoot) kini memberi alternatif untuk melancong menggunakan penerbangan tambang rendah bagi masyarakat di kedua-dua rantau.

Penerbangan sulung dari Singapura menggunakan pesawat A320 disambut meriah dengan pancutan air sejurus ketibaannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar jam 9.55 malam pada 29 Oktober lalu.

Ketua Pegawai Komersil Scoot Vinod Kannan adalah antara penumpang yang disambut mesra dengan iringan tarian tradisional anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

Pengamal media cetak dan elektronik dari Kuching turut diberi kesempatan untuk menaiki penerbangan sulung Scoot dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Singapura pada malam yang sama.

Para penumpang diberi layanan mesra oleh anak kapal, yang menggayakan cekak rambut telinga kucing, sebagai simbolik penerbangan sulung syarikat yang merupakan cabang penerbangan tambang rendah Singapore Airlines Group ke bandar raya Kuching yang sinonim dengan kucing.

Sebagai sebuah negara moden dan pesat membangun, Kota Singa juga mempunyai tarikan pelancong, antaranya seperti Resort World Sentosa, Universal Studio Singapore, Marina Bay Sands.

Salah satu tempat wajib singgah adalah arca singa dan ikan atau dikenali sebagai Merlion yang menjadi tarikan utama pengunjung untuk mengambil gambar kenangan.

 Bangunan menampilkan seni bina  Peranakan yang pasti                                                menarik perhatian                                      pengunjung di Joo Chiat.
PERANAKAN: Bangunan menampilkan seni bina Peranakan yang pasti menarik perhatian pengunjung di Joo Chiat.

BUDAYA PERANAKAN

Di sebalik kemodenan dan bangunan-bangunan pencakar langit, bangunan-bangunan lama neoklasik masih wujud dan dipelihara dengan baik, sebagai contoh di Joo Chiat atau Katong, yang terletak di timur Singapura, yang menonjolkan budaya Peranakan.

Bagi menyelami budaya Peranakan, rombongan turut diberi kesempatan untuk melawat The Intan, iaitu Muzium Peranakan yang terletak di sebuah kediaman teres berusia setengah abad di bandar warisan, Joo Chiat.

Muzium itu dikendalikan sepenuhnya oleh Alvin Yapp tanpa sebarang pembiayaan daripada kerajaan, mempunyai ratusan koleksi antik kasut, baju, barang kemas, perabot dan perhiasan rumah yang dibeli serta diderma kepada beliau.

Menurutnya, hobi mengumpul pelbagai barangan jenis Peranakan itu dimulakannya sejak beliau masih muda lagi, iaitu sejak tahun 80-an atas minat mendalamnya untuk menjejak warisannya.

Pada tahun 80-an dan 90-an, saya pergi merantau, mencari barang antik namun memandangkan ketika itu usia saya masih muda, kebanyakan peniaga tidak mengendahkan saya.

Setiap tahun saya akan melancong bagi memperluaskan koleksi, termasuk ke Melaka, pasar lambak di Australia, United Kingdom... tetapi selepas 30 tahun, orang datang mengetuk pintu rumah saya untuk menjualnya,” katanya sambil menambah, beliau mewujudkan muzium kecil - yang juga merupakan kediaman peribadinya pada 2003.

Meskipun budaya Peranakan lebih sinonim dengan Melaka, ia juga boleh didapati di Singapura dan Pulau Pinang katanya sambil menambah, Peranakan Singapura dan Peranakan Melaka mempunyai banyak persamaan.

Pengaruh Peranakan juga boleh dilihat di Phuket. Kalau tak silap, budaya Peranakan juga wujud di Kuching, berdasarkan koleksi antik yang saya lihat di Muzium Cina sewaktu kunjungan saya ke bandar raya itu beberapa tahun lalu,” katanya.

Muzium itu turut menerima pelbagai anugerah, termasuk daripada Trip Advisor, selain pernah dipaparkan di Cable News Network (CNN), Discovery Channel dan National Geographic.

Pengunjung muzium yang terletak di rumah diubah suai kepada dua tingkat, berkeluasan 1,000 meter persegi itu, berpeluang mengalami pengalaman peribadi dan mendengar kisah serta sejarah budaya dan barangan antik Peranakan yang memukau.

Bagi terus mempromosikan budaya Peranakan, koleksi The Intan turut dipamerkan di beberapa tempat termasuk Croatia, Hawaii, Hong Kong, Moscow, London dan Barcelona.

Untuk berkunjung ke Intan, orang ramai perlu membuat temu janji memandangkan Yapp juga sibuk menguruskan perniagaan keluarganya, dengan menghubungi +65 6440 1148 atau e-mel ke [email protected].

 Pelancong merakam kenangan berlatarbelakangkan              Merlion dan Marina Bay Sands.
MERCU TANDA: Pelancong merakam kenangan berlatarbelakangkan Merlion dan Marina Bay Sands.

PUSAT WARISAN CHINATOWN

Chinatown adalah antara penempatan awal bagi pelopor awal Singapura yang meninggalkan kampung halaman di China, dengan harapan untuk memperoleh pendapatan dan mendapat kehidupan lebih baik.

Pusat Warisan Chinatown di Lebuh Pagoda adalah antara tempat yang wajib dilawat bagi mendapat gambaran kepada kehidupan orang asal China, di mana pelawat turut disediakan panduan audio untuk menerokai muzium tersebut.

Rombongan media bagaimanapun diiringi pemandu pelancong, Toon Ting, yang disediakan Lembaga Pelancongan Singapura.

Toon Ting berkata, beliau adalah antara komuniti kaum Cina yang berkesempatan tinggal di Chinatown, sebelum berpindah ke perumahan awam.

Di aras bawah, pengunjung berpeluang melihat jenis-jenis pekerjaan seperti tukang jahit, pembantu rumah manakala tingkat dua pula menempatkan bilik-bilik sewa yang bersaiz kecil.

Pusat Warisan Chinatown ini sememangnya membawa saya kembali ke zaman lalu, setiap perincian, bunyi, adalah sama.

Dahulu, setiap bilik kecil ini dihuni oleh keluarga yang terdiri daripada lima hingga 10 orang. Bayangkan terpaksa tidur di bilik yang sempit tanpa tingkap dan setiap pagi, terpaksa berebut untuk menggunakan bilik air,” katanya.

Tingkat ketiga akan memberi lebih banyak maklumat mengenai sejarah Chinatown seperti ketibaan masyarakat dari China ke Singapura, ketagihan opium, pendidikan, dan jenis hiburan tersedia.

Penduduk dari China berpindah ke Singapura dengan harapan untuk mencari kehidupan lebih baik namun ia tidak semudah yang disangka,” katanya.

__alt__
  • oleh
  • Advertisement