Anda di sini

Pementasan teater Pak Wan Mee Kolok pada 20 dan 21 Dis ini

Advertisement
 Iklan mee kolok, salah satu makanan tradisi popular di Sarawak yang akan dipentaskan dalam teater Pak Wan Mee Kolok.
DITEATERKAN: Iklan mee kolok, salah satu makanan tradisi popular di Sarawak yang akan dipentaskan dalam teater Pak Wan Mee Kolok.

KUCHING: Sebuah teater berkongsepkan komedi yang menceritakan tentang kehidupan peniaga mee kolok yang banyak berkorban masa berjuang demi keluarga tercinta, akan dipentaskan pada Disember nanti.

Dianjurkan Persatuan Seni Persembahan Genebar (PSPG) dari Semerah Padi, Semariang, teater diberi tajuk Pak Wan Mee Kolok itu merupakan sebuah naskah yang mencorakkan satu fenomena pandangan masyarakat kepada kerja mulia menjual mee kolok, salah satu makanan tradisi yang hanya popular di Sarawak sahaja.

Malah, karya Mohamad Fauzi Abdillah merangkap presiden PSPG itu juga diyakini mampu mempopularkan mee kolok bila ia dinaiktarafkan di atas pentas sekali gus menjadi antara makanan pilihan di Malaysia.

Menurut Mohamad Fauzi yang juga selaku pengarah dan penulis skrip, pementasan Pak Wan Mee Kolok adalah sebuah teater yang menceritakan kisah kehidupan rakyat mengenai seorang peniaga mee kolok yang banyak mengorbankan masa untuk menyara keluarga, selain diselitkan humor komedi yang akan menjadikan penonton tidak kering gusi .

Pak Wan Mee Kolok adalah sebuah karya memperjuangkan nasib peniaga mee kolok yang pada asalnya mengalami kehidupan yang susah. Slot komedi yang ditampilkan dengan menggunakan loghat Sarawak menjadi satu daya tarikan pementasan ini,” katanya ketika ditemubual, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pementasan teater berkongsepkan komedi itu adalah satu permulaan positif dalam dunia teater Sarawak khususnya kepada aktivis teater di Bumi Kenyalang.

Pada masa sama, katanya ia juga bagi menghormati perjuangan peniaga yang berkorban masa demi mencari nafkah dan secara tidak langsung mempromosikan makanan Sarawak itu menjadi popular di seluruh negara kelak.

Dibarisi pelakon-pelakon dari Studio Labu Sakti, Pak Wan Mee Kolok juga diyakini akan mampu mencuri perhatian penonton kerana julung kalinya kisah peniaga mee kolok dipentaskan dalam teater

Ia juga merupakan satu intipati kepada rakyat Sarawak khususnya di kalangan belia bagi mendalami penghayatan yang begitu mencabar kepada peniaga mee kolok khususnya orang Melayu.

Pak Wan Mee Kolok adalah sebuah naskah yang kuat dan memberi keberkesanan selepas ia dipentaskan dan diharap menjadi satu ‘trendmark’ dalam pementasan sebenar nanti,” kata Mohamad Fauzi sambil menambah ia juga sebagai gerak kerja mengimarahkan lagi dunia seni  teater dalam kesenian di Sarawak dan akan menyuburkan bakat-bakat baharu tempatan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai bersama-sama datang menyaksikan pementasan Pak Wan Mee Kolok pada 20 dan 21 Disember, bermula jam 8.30 malam.

Katanya, tiket akan dijual pada harga RM10 seorang dengan sasaran penonton adalah warga peniaga, seniman jalanan, pelajar sekolah, orang awam, graduan universiti dan pegawai kerajaan.

Bagaimanapun, katanya tempat duduk untuk menyaksikan pementasan yang akan diadakan di Studio Labu Sakti, Jalan Haji Taha di sini itu adalah terhad kepada 60 orang sahaja.

Sinopsis teater ini adalah mengenai Pak Wan, seorang peniaga mee kolok yang gigih telah diberi perhatian oleh pegawai Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) dan MARA di atas kejujuran dan kesabarannya selama 25 tahun berniaga mee kolok di sebuah kampung di tengah bandaraya Kuching iaitu Kampung Kudei.

  • oleh
  • Advertisement