Anda di sini

New Zealand ratapi ‘Kucing Pertama’

Advertisement
 Paddles dalam gambar fail Mac lalu. — Gambar Reuters
DIRATAPI: Paddles dalam gambar fail Mac lalu. — Gambar Reuters

WELLINGTON: New Zealand meratapi kehilangan ‘Kucing Pertama’ negara semalam selepas haiwan kesayangan Perdana Menteri Jacinda Ardern itu dilanggar sebuah kereta di Auckland.

Pejabat perdana menteri mengesahkan kucing penyelamat putih dan perang kemerah-merahan itu, juga dipanggil Ardern sebagai PM (Prime Moggy), mati dalam kemalangan kelmarin.

Kepada sesiapa yang pernah kehilangan haiwan peliharaan, anda pasti tahu betapa sedihnya perasaan kami,” tulis pemimpin berusia 37 tahun itu dalam Facebook, dan menasihati orang ramai untuk menderma kepada badan amal penyelamat haiwan.

Paddles amat disayangi, dan bukan kami sahaja. Terima kasih di atas ingatan semua.”

Paddles ternyata anggota isi rumah perdana menteri yang popular selepas Ardern memenangi jawatan tersebut bulan lepas, dengan akaun Twitter yang dibuka atas namanya @FirstCatofNZ menarik lebih 11,000 pengikut.

Ardern mendakwa kucing itu sendiri mengendalikan akaunnya, menyatakan ia adalah ‘polydactyl’, dengan kuku kaki tambahan yang kelihatan seperti ibu jari, untuk membolehkannya me-ngendalikan papan kekunci.

Beliau berkata, aktiviti kucing itu dalam media sosial adalah sumber hiburan utama.

Majalah Amerika Syarikat (AS) Vanity Fair berkata, kucing celik teknologi itu membantu menetapkan Ardern sebagai pemimpin dunia terbaharu yang hebat dan moden yang Amerika harap ia miliki.

Pasangan Ardern, hos televisyen Clarke Gayford, pada minggu ini bercerita mengenai gelagat Paddles ketika Ardern menerima panggilan telefon ucapan tahniah dari Presiden AS Donald Trump selepas pilihan raya.

Ia melompat ke atas kerusi di sebelah Jacinda dan mula mengumumkan ketibaannya yang sangat bising,” beliau menulis dalam laman sesawang budaya pop thespinoff.co.nz.

Keadaan huru-hara berlaku ketika saya cuba membawanya ke dalam bilik sebelah sedangkan pemimpin dunia bebas sedang disambung ke rumah kecil kami di Pt Chev (bandar pinggiran Auckland, Point Chevalier).”

Pengguna Twitter sedih dengan berita itu, ada yang meminta pengebumian rasmi dan ada pula yang menyatakan mereka begitu sedih dan tidak akan turun bekerja.

Gracie Brown, anjing ‘Yorkshire terrier’ milik duta Amerika Syarikat ke New Zealand, Scott Brown, turut menyampaikan simpati menerusi akaun Twitternya sendiri @DiploDogGracie.

Laman Facebook milik Ardern dibanjiri ratusan ucapan takziah. — AFP

Advertisement