Anda di sini

Lelaki cuba merasuah pegawai APMM didakwa

Advertisement

BINTULU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Bintulu semalam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dua pertuduhan memberi suapan kepada dua penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masing-masingnya berjumlah RM500 dan RM2,000 pada Januari dan Julai 2017.

Tertuduh, Ling Tien Ung, 41, berdepan dua pertuduhan itu dengan melakukan kesalahan pada 19 Januari 2017, sekitar jam 3 petang di sebuah restoran After  3, Parkcity Commercial Centre Bintulu memberi suapan wang tunai RM500 kepada Laskar 1 Abdul Hakim Mohamad@Hamid iaitu penguat kuasa APMM Bintulu.

Ia sebagai dorongan supaya tidak melakukan tindakan terhadap tertuduh yang melakukan kesalahan di bawah terma dan syarat berkenaan Syarat-Syarat Lesen Vesel dan Peralatan Menangkap Ikan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)2009 dan dihukum di bawah seksyen 24 akta sama.

Selain itu, tertuduh sama sekitar jam 7 malam 27 Julai 2017 di jalan Kampung Jepak di hadapan laluan masuk utama Markas Polis Marin Bintulu, turut memberi suapan  wang tunai RM2,000 kepada seorang lagi anggota penguat kuasa APMM Bintulu, Leftenan Mohd Izham Ismail sebagai dorongan tidak melakukan tindakan berkaitan kesalahan sama.

Dua pertuduhan itu masing-masing kesalahan di bawah akta itu untuk seksyen 16, 17, 20, 21, 22 dan 22 yang boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau suapan yang tertakluk kepada kesalahan suapan yang boleh dinilai atau bersifat kewangan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Semasa dihadap ke Mahkamah Sesyen semalam, tertuduh tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut.

Hakim Mahkamah Sesyen Nixon Kennedy Kumbong dalam penghakimannya untuk kes berlaku pada 19 Januari 2017, membenarkan ikat jamin mahkamah RM10,000 dan RM3,000 jaminan tunai dengan seorang penjamin serta tertuduh perlu melapor diri ke balai polis pada setiap Sabtu.

Tuduhan kedua juga tertuduh tidak mengaku bersalah dan mahkamah membenarkan ikat jamin mahkamah RM10,000 dan RM3,000 jaminan tunai dengan seorang penjamin serta perlu melapor diri ke balai polis setiap Jumaat.

Hakim Nixon menetapkan dua kes tersebut untuk disebut semula pada 5 Disember 2017 dan pendengaran kes pada 5 dan 7 Februari 2018.

Advertisement