Anda di sini

70 peratus pembangunan

Advertisement

RM5.745 bilion daripada Bajet Negeri 2018 diperuntuk bagi pelaksanaan pembangunan.

Abang Johari menyampaikan ucapan Bajet Negeri 2018 ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 pada Persidangan DUN, semalam.
PERSIDANGAN:Abang Johari menyampaikan ucapan Bajet Negeri 2018 ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2018), 2017 pada Persidangan DUN, semalam.

KUCHING: Sebagai negeri sedang membangun, kerajaan negeri terus menyediakan peruntukan besar bagi membiayai projek dan program pembangunan apabila 70 peratus atau RM5.745 bilion daripada Bajet Negeri 2018 diperuntukkan bagi pelaksanaannya.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata bajet yang cenderung terhadap pembangunan itu adalah untuk merangsang aktiviti ekonomi dan mengekalkan pertumbuhan ekonominya tahun depan.

Daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan, 53 peratus atau RM3.062 bilion diperuntukkan kepada kawasan luar bandar, yang menyaksikan dana lebih banyak berbanding dua tahun sebelumnya.

Pada 2016 peruntukan untuk tujuan itu ialah RM2.65 bilion dan RM2.982 bilion pada 2017.

Usaha berterusan terhadap pembangunan luar bandar amat mustahak ke arah mencapai objektif pembangunan dalam membuka peluang lebih baik di luar bandar dan kawasan pedalaman demi kemakmuran ekonomi penduduk luar bandar.

Untuk kawasan bandar, saya berbesar hati generasi muda menikmati kemudahan dan perkhidmatan terbaik dalam membangunkan bakat dan menggalakkan inovasi dan keusahawanan terutama di kalangan celik digital,” katanya ketika membentangkan Bajet Negeri 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Manakala bagi tujuan perbelanjaan mengurus, RM2.481 bilion diperuntukkan yang mewakili 30 peratus daripada RM8.226 bilion bajet pada tahun depan, berbanding RM2.206 bilion dalam Bajet Negeri 2017 - peningkatan sebanyak 12 peratus.

Dalam Bajet Negeri 2017, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.134 bilion yang menyaksikan RM5.928 bilion untuk pembangunan dan RM 2.206 bilion untuk operasi.

Perbelanjaan mengurus merangkumi gaji kakitangan awam, perbekalan dan perkhidmatan, geran dan bayaran tetap, pemerolehan aset dan perbelanjaan operasi.

Abang Johari berkata bajet yang dicadangkan itu dianggarkan mencatat defisit sebanyak RM256 juta berdasarkan jumlah hasil yang dijangka sebanyak RM5.525 bilion berbanding anggaran perbelanjaan biasa sebanyak RM5.781 bilion.

Pendapatan negeri semakin menurun sejak 2015, ekoran kejatuhan harga minyak dan gas serta penurunan pendapatan daripada perhutanan dan pendapatan dividen, manakala perbelanjaan semakin meningkat.

Berdasarkan latar belakang ini, kerajaan akan memperhebatkan kegiatan penyelidikan dan pembangunan bagi mencari aliran baharu hasil negeri, seperti ses (cukai khas) dan levi ke atas komoditi berharga serta royalti daripada paten,” katanya.

Mengenai jangkaan perolehan, beliau berkata bagi 2018 kerajaan negeri dijangka mengutip RM5.525 bilion.

Perolehan cukai dijangka berjumlah RM1.470 bilion daripada royalti dan premium berasaskan perhutanan sebanyak RM641 juta; RM530 juta cukai jualan dan RM299 juta royalti air mentah dan galian, sewa tanah dan lain-lain.

Perolehan bukan cukai dijangka menyumbang RM3.893 bilion merangkumi RM1.577 bilion pampasan tunai daripada sektor minyak dan gas; RM1.008 bilion pendapatan faedah; RM755 juta pendapatan dividen; RM300 juta premium tanah; RM120 juta pampasan tunai import dan duti eksais terhadap produk-produk petroleum; dan RM133 juta daripada lain-lain termasuk pelesenan, yuran perkhidmatan, permit dan sewa.

Perolehan Tidak Berresit dijangka menjana RM12 juta daripada ganti rugi kerosakan hutan dan pelupusan aset.

Geran kerajaan persekutuan dan pembayaran balik dijangka menyumbang RM150 juta.

Mengenai prestasi ekonomi negeri tahun ini, Abang Johari berkata bagi separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berjalan lancar, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam permintaan domestik dan luaran yang dipacu oleh pemulihan ekonomi dunia.

Oleh itu, pertumbuhan ekonomi negeri tahun ini diunjurkan antara 3.5 peratus dan empat peratus,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan peningkatan yang menggalakkan dalam ekonomi global yang mencetuskan kesan positif terhadap ekonomi negeri secara keseluruhannya, prospek pertumbuhan 2018 dijangkakan lebih baik, pada empat hingga 4.5 peratus.

Pertumbuhan adalah secara menyeluruh merentas seluruh industri, dengan permintaan luar yang lebih tinggi dijangka akan terus meningkatkan ekonomi negeri,” katanya.

__alt__
  • oleh
  • Advertisement