Anda di sini

Wanita rempuh sekolah di Australia

Advertisement
 Pegawai perkhidmatan kecemasan dan polis memeriksa sebuah kenderaan yang merempuh bilik kelas sebuah sekolah rendah di Greenacre, pinggir Sydney semalam. — Gambar Reuters
MALANG: Pegawai perkhidmatan kecemasan dan polis memeriksa sebuah kenderaan yang merempuh bilik kelas sebuah sekolah rendah di Greenacre, pinggir Sydney semalam. — Gambar Reuters

SYDNEY: Dua kanak-kanak kecil maut dan tiga lagi cedera parah semalam apabila sebuah kereta merempuh bilik kelas mereka di sebuah sekolah di Sydney, di mana saksi dan jabatan kecemasan menggambarkan suasana huru-hara di tempat kejadian.

Tragedi berlaku di Sekolah Awam Banksia Road apabila kereta berkenaan merempuh bangunan bilik kelas kayu tidak lama selepas kelas bermula.

Lesen pemandu wanita berusia 52 tahun terbabit telah digantung dan suspe didakwa atas dua tuduhan pemanduan secara berbahaya hingga mengakibatkan kematian dan pemanduan secara cuai.

Suspek dilaporkan menghantar seorang kanak-kanak di sekolah tersebut pada waktu kejadian.

“Kenderaan terus merempuh di dalam bangunan dan malangnya sejumlah kanak-kanak cedera,” kata Penolong Pesuruhjaya Polis Trafik Negeri New South Wales Stewart Smith.

“Akibat pelanggaran itu, lima kanak-kanak segera dikejarkan ke Hospital Westmead.

“Malangnya, dua daripada kanak-kanak terbabit, lelaki, telah terkorban.”

Kedua-dua kanak-kanak lelaki yang maut itu berusia lapan tahun.

Seramai 17 lagi kanak-kanak dan seorang guru menerima rawatan di tempat kejadian atas kecederaan ringan.

Superintenden Ambulans Negeri Stephanie Radnidge berkata, anggota perubatan kecemasan tiba di tempat kejadian dan menyaksikan suasana penuh huru-hara.

“Terdapat beberapa guru dan kanak-kanak yang amat ketakutan dan gelisah di tempat kejadian satu kemalangan yang dahsyat,” katanya.

“Mereka sudah tentulah menangis, mereka ketakutan, ada yang meminta untuk dipertemukan dengan ibu bapa mereka, itu adalah respons semula jadi dalam keadaan yang begitu buruk.

“Keadaan ternyata huru-hara,” ujarnya.

Seorang bapa yang begitu sedih memberitahu bagaimana dia mengangkat kereta tersebut yang menindih seorang budak lelaki yang nazak, manakala seorang lagi budak menjerit memanggil ibunya dalam huru-hara selepas kejadian.

“Kami bertiga mengangkat kereta itu dan seorang lelaki menarik mangsa keluar dari bawah kereta,” kata lelaki itu yang enggan dikenali, kepada akhbar Sydney Daily Telegraph.

Beliau menambah kata, seorang lagi rakan sekelas mangsa yang cedera parah terlantar tidak jauh daripadanya.

“Anak itu berkata ‘saya mahu ibu saya’.

“Ibunya mungkin tidak sempat melihatnya sebelum mangsa mati.”

Pelajar Mariam Issmail memberitahu Perbadanan Penyiaran Australia bahawa beliau melihat seorang guru pengsan selepas nahas berlaku, manakala guru lain mengusung kanak-kanak ke dalam ambulans.

“Kesemua mangsa berlu-muran darah dan keadaan di tempat kejadian amat teruk,” katanya. — AFP

Advertisement