Anda di sini

Simpan harta curi, lelaki dipenjara tiga bulan

Advertisement

MIRI: Gara-gara menyimpan harta curi, seorang lelaki terpaksa meringkuk selama tiga bulan dalam penjara setelah Mahkamah Majistret Miri menjatuhkan hukuman itu ke atasnya pagi semalam.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman.

Choo Boon Chung, 34, dari Jalan Mulia 2A Tudan di sini didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati dengan curang menyimpan harta curi iaitu satu unit kamera litar tertutup (CCTV) kepunyaan Ting Suok Huong, 45,.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 10.51 malam, pada 20 Mac lalu di rumahnya, Jalan Mulia 2A Tudan Fasa 2 di sini.

Bagaimanapun, tertuduh memohon agar hukuman penjara ke atasnya ditangguhkan sementara menunggu dia mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Penolong Kanan Pendaftar Md Syafi que Md Hilmie membenarkan permohonan itu dan tertuduh dibebas dengan jaminan RM2,000.

Pendakwaan dilakukan ASP Mary Ong.

Advertisement