Anda di sini

Seoul sindir Tokyo dalam jamuan rasmi untuk Trump

Advertisement

SEOUL: Kicap istimewa yang seabad lebih tua daripada Amerika Syarikat (AS) disajikan dalam menu bagi Donald Trump di bankuet rasmi beliau di Seoul semalam, selain udang yang rumit dari segi diplomatik.

Majlis makan malam itu, di perkarangan Rumah Biru bersebelahan dengan sebuah bangunan yang dahulu merupakan istana diraja, turut memaparkan masakan rusuk daging lembu bersama kuah yang diperbuat dengan kicap berusia 360 tahun yang sangat halus buatannya, kata jurucakap pejabat presiden di Seoul.  

Usia itu membayangkan ia dibuat pada 1657, tahun kelahiran bapa Benjamin Franklin, yang menandatangani Deklarasi Kemerdekaan AS.

Makanan yang ditapai termasuk kicap merupakan makanan ruji dalam masakan Korea Selatan, dengan kicap yang dibuat tukang terkenal dan ditapai puluhan malah ratusan tahun berharga puluhan ribu dolar seliter.

Pada pameran makanan pada 2012, sekumpulan tukang mempamerkan kicap yang didakwa dibuat 450 tahun lalu, dengan harga 100 juta won (RM387,000).

Menu semalam turut memaparkan ikan sisa nabi gril, yang diketahui kegemaran Trump, dan pegawai tidak dinamakan memberitahu agensi berita Yonhap di Korea Selatan: “Menu mengandungi makanan yang mempunyai cita rasa tempatan dan tradisional yang juga memenuhi cita rasa ketua kerajaan AS.”

Namun ia bercanggah sekali dengan sajian ala AS biasa yang ditawarkan kepada presiden itu oleh Shinzo Abe di Jepun, yang menjalin hubungan lebih mesra berbanding dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-In.

Dalam masa beberapa jam selepas Trump tiba di Tokyo, Trump dan Abe duduk untuk makan burger keju, bersama kicap tomato, dan hidangan utama di bankuet rasmi itu adalah stik. 

Majlis di Seoul turut memaparkan seekor udang yang menurut pejabat Moon ditangkap dekat pulau yang menjadi dituntut Korea Selatan dan Jepun.

Pulau yang dikuasai Seoul di perairan pantai timur itu, dipanggil Dokdo di Korea dan Takeshima di Jepun, menjadi tumpuan perbalahan diplomatik dan pertikaian wilayah selama berdekad-dekad di antara kedua-dua negara.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Yoshihide Suga berkata di Tokyo bahawa beliau enggan mengulas cara negara lain mengalu-alukan tetamu kenamaan.

Tetapi beliau berpendapat bukan idea yang bagus untuk menyajikan udang yang ditangkap dekat pulau yang dipertikaikan ketika Jepun dan Korea Selatan sepatutnya bersatu menangani isu-isu Korea Utara.

Dalam satu lagi sindiran diplomatik terhadap Jepun, pejabat Moon menjemput Lee Yong-Soo, bekas hamba seks era perang untuk askar Jepun, menghadiri majlis makan malam rasmi itu.

Nasib ‘wanita peneman’ adalah isu penuh emosi yang turut menjejaskan hubungan antara Seoul dan Tokyo selama puluhan tahun.

Sementara itu, Korea Selatan bersetuju untuk membeli senjata daripada AS bernilai bilion dolar sebagai pertahanan daripada ancaman Korea Utara, menurut Trump semalam.

Selepas sidang kemuncak bersama Moon, Trump yang tiba di Seoul semalam untuk lawatan dua hari dalam jelajah Asianya, menyatakan sekutu utamanya di Asia itu yang menempatkan 28,500 anggota tentera AS dan penjamin utama keselamatan Korea Selatan, telah bersetuju untuk memansuhkan had berat peluru berpandu misil balistik Seoul.

“Korea Selatan akan menempah berbilion dolar peralatan, baik pesawat, misil atau apa sahaja yang logik bagi mereka dan bagi kita ini bermakna pekerjaan dan pengurangan defisit daga-ngan.” tegasnya. — AFP

Advertisement