Anda di sini

‘Pesan Dari Tuhan’ dinobat Drama Terbaik Anugerah Skrin 2017

 Drama ‘Pesan Dari Tuhan’ dan filem ‘Hanyut’ masing-masing dinobatkan sebagai Drama Terbaik dan Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini.  — Gambar Bernama
TERBAIK: Drama ‘Pesan Dari Tuhan’ dan filem ‘Hanyut’ masing-masing dinobatkan sebagai Drama Terbaik dan Filem Terbaik pada Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini. — Gambar Bernama

DRAMA ‘Pesan Dari Tuhan’ dinobatkan Drama Terbaik manakala pengarahnya, Erma Fatima diumumkan Pengarah Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2017 (ASK2017) yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama terbitan Rumah Karya Citra Sdn Bhd itu mengetepikan 17 drama lain yang turut dicalonkan bagi kategori tersebut.

‘Pesan Dari Tuhan’ juga meletakkan Erma Fatima sebagai pemenang bagi Lakon TV Terbaik  dan Remy Ishak sebagai Pelakon Pembantu Terbaik.

Dalam pada itu, filem ‘Hanyut’ arahan U Wei Haji Saari merangkul filem terbaik selain turut memenangi tiga kategori lain iaitu Lakon Layar Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Filem Terbaik, (Khalid Salleh), Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik (Diana Danielle)

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri Datin Seri Raya Erom hadir sebagai tetamu kehormat. Turut hadir ialah Pengerusi Media Prima, Tan Sri Ismee Ismail.

Sebanyak 33 anugerah dipertandingkan pada ASK17 yang bertemakan ‘Mencipta Fenomena’ kali ini dan anugerah ini disiarkan secara langsung dari Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.  — Bernama