Anda di sini

Kepulangan semula Sedi Ambang pertemuan manis buat keluarga

Advertisement
 Sedi (duduk, tiga kiri), (berdiri dari dua kiri) Coombs, Nooraini,  Ellis (kanan) serta ahli keluarga lain merakam  kenangan pada sesi pertemuan itu.
KENANGAN MANIS: Sedi (duduk, tiga kiri), (berdiri dari dua kiri) Coombs, Nooraini, Ellis (kanan) serta ahli keluarga lain merakam kenangan pada sesi pertemuan itu.

KEPULANGAN semula Sedi Ambang ke Rumah Buda, Tanah Putih, Sarikei selepas lebih 50 tahun berpisah dengan keluarganya menjadi pertemuan manis buat mereka sekeluarga.

Sedi, 70, kini memegang kewarganegaraan British dengan nama Sedi Carpenter meninggalkan rumah panjang ke Portsmouth, England bersama suaminya ketika usianya

17 tahun pada 1965.

Ketika itu, Sedi berkahwin dengan suaminya Kenneth Peter Packwood, 23, yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja Sibu selepas dua tahun berkenalan.

“Sebelum Kenneth hendak berangkat pulang ke negara asalnya selepas berkhidmat di sini, beliau memberitahu tidak sanggup meninggalkan saya seorang diri dan menyatakan niatnya ingin membawa saya pulang bersama.

“Namun, saya tidak tahu bercakap dalam Bahasa Inggeris dan satu perkataan tahu ‘Yes’ dan segala-galanya bermula di situ,” katanya yang mendaftar perkahwinan dan meninggalkan Sarawak pada 1965.

Perkahwinan Sedi dan suaminya tidak mendapat restu, ibu bapa sebaliknya mahu Sedi menjalani kehidupan di rumah panjang serta bersetuju dengan perkahwinan diatur oleh ibu bapanya.

“Saya tidak mahu perkahwinan diatur. Apa saya mahu ialah seorang lelaki saya cintai untuk hidup bahagia. Ibu saya dengan tegasnya memberitahu jika saya tetap dengan keputusan untuk berkahwin dengan orang asing, saya harus meninggalkan rumah.

“Dan, itu apa yang saya lakukan...mengahwini suami saya dan meninggalkan keluarga,” jelasnya ketika ditemui pada sesi pertemuan semula bersama keluarganya di Visitor Information Centre (VIC) di Pusat Warisan Sibu.

Sedi memberitahu, pemergiannya tidak diketahui bapanya dan berkahwin pada 22 Mac 1965, kemudian meninggalkan Sarawak pada November tahun sama.

Cabaran hidupnya mula dirasai terutama baginya seorang asing yang tidak tahu menulis dan membaca Bahasa Inggeris dan perasaan rindu dengan keluarga pertama kali dirasainya apabila tidak dapat bangun dari katil selama tiga bulan kerana faktor cuaca sejuk di England.

“Kehidupan di England sangat sukar. Saya tidak tahu bercakap dengan orang lain kerana mereka tidak faham apa dikatakan saya. Hari demi hari berlalu orang lain tidak sudi membantu, mengenali dan mengambil berat tentang saya,” ujarnya.

Selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga, Sedi dan suaminya kemudian membuat keputusan untuk bercerai.

“Saya mula bekerja selepas berkahwin dan beliau tidak membenarkan dan mahu saya tinggal di rumah. Selepas mengalami krisis perkahwinan, saya membuat keputusan bercerai, saya berkemas dan terus meninggalkan rumah.

“Ini adalah kali pertama saya memahami apa erti kehilangan tempat bergantung, kerinduan keluarga dan hilang harapan,” katanya.

Selepas meninggalkan rumah, Sedi tinggal bersama kumpulan pelajar selama tiga bulan. Beliau memasak dan mengemas rumah sebagai membalas budi mereka memberi makanan dan tilam untuk alas tidur.

“Kadangkala saya tidur di kilang tempat kerja atau pantai dan di mana-mana tempat boleh melelapkan mata. Menjadi seorang tiada tempat berteduh adalah satu pengalaman buruk. Saya sering hidup dalam ketakutan kerana tiada yang sudi membantu. Saya hanya mampu menangis kelaparan,” ujarnya.

Melalui saat-saat sukar hidup di negara luar, Sedi membuat keputusan mengetuk pintu rumah orang untuk minta kerja.

“Saya lakukan apa sahaja, saya berkebun dan melakukan kerja-kerja pembersihan. Saya beritahu mereka saya tidak mahu duit. Yang penting saya dapat makanan meneruskan hidup,” katanya.

Sedi mengambil masa selama 35 tahun untuk fasih berbahasa Inggeris dan dapat berkomunikasi dengan mereka di England.

Walaupun hidup dalam kesukaran, Sedi juga mempelajari teknik memasak kerana minatnya dalam bidang kulinari dan pernah memenangi dua medal perak dalam pertandingan memasak.

“Saya tiada cukup masa untuk tidur kerana melakukan beberapa kerja dalam sehari sehingga berjaya mengumpul duit membeli sebuah rumah dua bilik tidur dengan 18 tahun membayar ansuran rumah,” jelasnya.

Sedi kemudian berkahwin semula pada 1978 namun harapannya berkecai selepas lima tahun mendirikan rumah tangga.

“Saya tiada keluarga di England dan sering kesunyian hidup sukar. Saya sibukkan diri dengan melakukan aktiviti berkebun untuk mengubat rasa kerinduan dengan keluarga

di Sarawak,” katanya.

Pada usia 60 tahun, selepas bersara, Sedi mempunyai simpanan untuk menempah tiket pulang ke Sarawak namun berasa takut untuk pulang kerana perasaan terasing di negara luar.

Selepas 10 tahun kemudian (70 tahun), Sedi sekali lagi membuat keputusan untuk pulang ke Sarawak dan mendapatkan bantuan daripada bekas rakan sekerjanya, Anne Coombs.

Coombs dan anak perempuannya, Susan Ellis bersetuju bersama Sedi dan itu adalah kali pertama Sedi keluar dari England.

Ellis berkata, segalanya bermula pada 18 Oktober lalu dengan bantuan salah seorang kakitangan di Visitor Information Centre (VIC) di Pusat Warisan Sibu.

Pencarian rumah panjang Sedi dilakukan mengikut ingatan Sedi rumah panjangnya terletak di satu tempat dikenali Tanah Putih dan di sepanjang Sungai Rejang.

Pemandu pelancong, Fiona Tiong bertanggungjawab membawa rombongan Sedi dari Lapangan Terbang Sibu kemudian membantu mereka dalam misi pencarian rumah panjang Sedi.

“Saya google dan menjumpai SK Tanah Putih. Kami memandu dan menggunakan aplikasi GPS untuk mencari. Saya bertanya dengan penduduk dan lebih sejam kemudian kami berjaya menemui rumah panjang itu,” jelasnya.

Apabila penduduk rumah panjang menyedari kehadiran Sedi, ia adalah satu pertemuan semula penuh emosi.

Ellis berkata, nasib baik menyebelahi Sedi kerana sijil kahwin pertamanya masih disimpan nama asalnya.

“Ia adalah saat-saat manis kepada Sedi kerana akhirnya berjaya menemui semula rumah panjang pernah didiaminya dan kembali bersatu bersama keluarga lama terpisah,” ujarnya.

Bermula dengan kehadiran Sedi di rumah panjang, berita kepulangan semulanya dimaklumkan kepada adik-beradiknya.

Salah seorang adiknya, Nooraini Abdullah @ Mit Ambang, 57, memberitahu beliau dimaklumkan kepulangan semula kakaknya oleh sepupunya.

“Ketika itu, saya sedang bersarapan dan apabila saya mendapat berita itu saya terus berhenti makan dan menangis. Saya tidak dapat menahan air mata gembira dapat bertemu semula kakak yang lama berpisah,” jelasnya yang berusia tiga tahun pada waktu Sedi meninggalkan mereka.

Menurut Nooraini, ibu bapanya Ambang Sumok dan Belula Bayau telah meninggal dunia dengan perasaan kecewa menunggu kepulangan Sedi.

“Ibu bapa sering kali menceritakan kepada kami mengenai kakak Sedi dan mencuba pelbagai cara mencari kakak pulang ke sini. Disebabkan faktor keluarga miskin, kami tidak tahu bagaimana cara menemui semula Sedi.

“Saya masih ingat ibu selalu menangis ketika rindu mengingatkan kakak sehingga ibu menghembuskan nafas terakhir dan bapa juga begitu berasa sedih dan kecewa menunggu kepulangan kakak (Sedi),” jelasnya.

Ketika Sedi mendapat khabar berita ibu bapanya, beliau berasa menyesal kerana lewat pulang ke pangkuan keluarganya.

“Saya sangat sedih dan menyesal kerana lewat pulang ke pangkuan keluarga. Yang penting sekarang saya dapat bertemu semula keluarga dan mencipta memori manis bersama mereka,” katanya.

Pada hujung Oktober lalu, Sedi akhirnya bertemu semula dengan empat kakak dan adik perempuannya yang datang ke Sibu.

Baginya, bertemu semula dengan mereka satu pengalaman yang mendebarkan dan kepulangan semulanya mengingatkan kenangan kehidupan yang pernah dilaluinya suatu ketika dahulu.

“Saya lama tidak bercakap dalam bahasa Iban. Lebih 50 tahun dan mendengar semula bahasa Iban membuatkan saya gembira kerana mengingatkan saya dengan kehidupan pernah saya lalui.

“Dapat bertemu semula dengan mereka adalah sangat mengujakan dan ia adalah kenangan manis kepada saya setelah lama menetap di negara luar,” ujarnya.

Ketika ditanya perancangannya, Sedi berkata adik-beradiknya mahu beliau memohon kerakyatan Malaysia dan menetap di Sarawak.

“Saya belum dapat membuat keputusan sama ada pulang ke sini atau terus menetap di sana (England) kerana pencen. Jika saya tidak dapat pencen di sini, maka saya tidak dapat menetap di sini kerana saya memerlukan wang dan saya tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan kerana faktor usia tua,” katanya.

Pada 23 Oktober lalu, Sedi meninggalkan Sibu dan pulang ke England berkesempatan mengambil gambar ibu bapanya sebagai peringatan.

  • oleh
  • Advertisement