Anda di sini

Rasuah: Ahli perniagaan, dua anak direman

Advertisement
 Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Miri pagi semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
DIREMAN: Ketiga-tiga suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Miri pagi semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

MIRI: Seorang ahli perniagaan dan dua anaknya yang ditangkap kerana disyaki merasuah tiga pegawai kanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diperintahkan Mahkamah Majistret Miri semalam direman lima hari.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarkan permohonan dikemukakan Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Miri Jamal Ayub selaku pegawai mereman.

Dalam permohonannya, Ayub berkata ahli perniagaan berusia 58 tahun bersama anak perempuan, 21, dan seorang anak lelaki, 31, ditangkap sekitar jam 2.30 petang kelmarin di sebuah rumah di Jalan Jee Foh, Krokop di sini oleh sepasukan anggota SPRM melakukan Ops Armada.

Tangkapan ke atas mereka dibuat kerana disyaki merasuah tiga pegawai kanan APMM masing-masing berpangkat Leftenan Komander Maritim, Leftenan Madya (M) Siasatan dan Laskar Kanan bertugas di APMM Wilayah Maritim Sabah dan Labuan antara tahun 2016 hingga 2017.

Ketiga-tiga suspek disyaki memberi suapan kepada tiga pegawai terbabit sebagai wang perlindungan supaya tidak diambil tindakan oleh APMM Kota Kinabalu kerana penglibatan mereka dalam aktiviti penangkapan ikan secara haram oleh warga asing di perairan Kota Kinabalu, Sabah.

Dalam permohonan lanjutnya, Jamal memberitahu bahawa reman tujuh hari mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 ke atas ketiga-tiga suspek terbabit amat diperlukan bagi membolehkan pihaknya melengkapkan kertas siasatan.

Selain itu, SPRM masih memerlukan masa mengesan saksi-saksi serta beberapa dokumen berkaitan, justeru membebaskan suspek-suspek terbabit lebih awal menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman lima hari dan tempoh reman tamat pada 11 November ini.

Ketiga-tiga suspek diwakili peguam Firdaus Morshidi.

Advertisement