Anda di sini

Pakatan tutup sementara akses ke Yaman

Advertisement

Kumpulan tentera diketuai Arab Saudi sekat jalan udara, darat dan laut untuk kekang Huthi

 Gambar pegun video yang diedarkan stesen televisyen pro-Huthi Al Masirah kelmarin menunjukkan pelancaran misil balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh sehari sebelumnya. — Gambar Reuters
DIPINTAS: Gambar pegun video yang diedarkan stesen televisyen pro-Huthi Al Masirah kelmarin menunjukkan pelancaran misil balistik ke arah Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh sehari sebelumnya. — Gambar Reuters

DUBAI: Pakatan ketenteraan diketuai Arab Saudi berkata ia akan menutup sementara semua jalan udara, darat dan laut ke Yaman untuk mengekang pengaliran senjata api kepada pemberontak Huthi dari Iran, menurut kenyataan dalam agensi berita rasmi SPA semalam.

Langkah dibuat susulan serangan misil ke arah Riyadh yang dipintas Sabtu lalu yang digambarkan pakatan sebagai peningkatan berbahaya militia Huthi yang bersekutu dengan Iran yang kini mengawal sebahagian besar Yaman.

Pakatan dan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menyalahkan Iran atas serangan itu, tetapi ketua Pengawal Revolusi Iran menafikan tuduhan tersebut kelmarin dan menolak kenyataan Trump sebagai fitnah.

Misil balistik itu dipintas pertahanan udara Arab Saudi dan dijatuhkan dekat lapangan terbang Riyadh tanpa menyebabkan sebarang kematian atau kerosakan.

Perintah Tentera Pakatan membuat keputusan untuk menutup sementara semua jalan udara, laut dan darat Yaman,” menurut kenyataan dalam SPA sambil menambah, pekerja bantuan dan bekalan kemanusiaan bagaimanapun akan terus diberi akses keluar masuk Yaman.

Pakatan menyasari Huthi sejak mereka merampas sebahagian negara itu pada 2015 termasuk ibu negara Sanaa, memaksa Presiden Abd-Rabbu Mansour Hadi untuk melarikan diri dan mendapatkan perlindungan daripada negara jiran Arab Saudi.

PBB dan pertubuhan bantuan antarabangsa kerapkali mengkritik pakatan kerana menyekat akses bantuan khususnya kepada kawasan utara yang dikuasai pemberontak.

Perang saudara itu telah menyebabkan lebih 10,000 maut dan mencetuskan krisis kemanusiaan yang teruk di salah sebuah negara termiskin dalam dunia Arab.

Lebih setengah juta penduduk dijangkiti taun dan kira-kira tujuh juta di ambang kebuluran, menurut PBB.

Sementara itu, pasukan Yaman menamatkan krisis tebusan semalam dengan 29 anggota polis dan enam orang awam maut, sehari selepas serangan yang diakui kumpulan Islamic State (IS) bermula dengan pengeboman nekad, menurut sumber keselamatan di Aden.

Para penyerang kelmarin menyerbu unit siasatan jenayah di Aden, membakarnya dan melarikan tebusan setelah menembak dua anggota polis wanita di kepala.

Serangan bermula dengan dua pengebom nekad meletupkan diri dekat pintu masuk ke unit terbabit dan ibu pejabat keselamatan wilayah bersebelahan.

Sepanjang malam kelmarin pasukan keselamatan mencuba sebanyak tiga kali untuk merampas semula unit tersebut namun setiap kali dipatahkan oleh pengebom nekad yang menghalang mereka masuk, kata pegawai keselamatan.

Pengeboman nekad keempat berlaku pagi semalam sebelum pasukan keselamatan akhirnya menamatkan krisis di bandar pelabuhan selatan itu yang menjadi ibu negara de facto.

Sejumlah 28 anggota pasukan keselamatan terbunuh semasa serangan dan krisis tebusan itu, kata pegawai terbabit.

Antara mereka adalah enam pegawai polis yang mana mayat mereka ditemui tertimbus di bawah runtuhan bangunan unit bersama enam orang awam, termasuk dua kanak-kanak.

Pasukan keselamatan berjaya memasuki bangunan dan membersihkannya daripada elemen jahat dan terorisme,” menurut kementerian dalam negeri kerajaan hadi.

Mayat tiga penyerang yang dipenuhi dengan kesan tembakan juga ditemui di bawah runtuhan, kata pegawai mengenai serangan yang diakui IS dalam kenyataan dalam talian kelmarin.

IS dan pesaing pelampaunya Al-Qaeda mengambil kesempatan daripada perang saudara itu untuk meningkatkan kehadiran mereka di sebahagian besar wilayah selatan.

Lebih 8,650 maut di Yaman sejak tentera pakatan menyertai perang tersebut pada 2015 untuk menyokong tentera kerajaan, menurut laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini. — Wirenews

Advertisement