Anda di sini

Mexico berkas ketua kultus beristeri empat

Advertisement
 Polis menyerbu salah sebuah ladang milik William Black Jr, ketua kultus La Comuna, di Cuauhtemoc, Chihuahua kelmarin. — Gambar AFP
SEPANDAI-PANDAI TUPAI MELOMPAT: Polis menyerbu salah sebuah ladang milik William Black Jr, ketua kultus La Comuna, di Cuauhtemoc, Chihuahua kelmarin. — Gambar AFP

CIUDAD JUAREZ: Seorang warga Amerika yang dituduh mengetuai satu kultus dan dikehendaki di tanah airnya atas dakwaan fedofilia telah ditahan di Mexico bersama 26 yang lain dalam sebahagian siasatan kes homisid membabitkan tiga kematian, menurut para pegawai kelmarin.

Orson William Black Jr. ditangkap di negeri sempadan utara Chihuahua bersama empat isterinya dan 22 yang lain termasuk sejumlah golongan bawah umur, menurut pendakwa raya negeri.

Kira-kira 100 anggota polis menyerbu tiga rumah dan dua ladang yang dihuni William Black dan para pengikutnya dalam operasi bersama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat (AS), menurut pendakwa raya.

Penahanan berpunca daripada siasatan dalam kes bunuh tiga warga AS di wilayah itu pada 10 September lalu membabitkan mangsa berusia 15, 19 dan 23 tahun.

William Black disyaki sebagai suspek dalam pembunuhan ketiga-tiga lelaki terbabit tetapi belum berdepan dakwaan, tetapi berdepan dakwaan fedofilia di negeri Arizona.

Dia dan yang lain buat masa sekarang dituduh memasuki Mexico secara haram dan menzalimi haiwan, setelah polis menemui lebih 50 haiwan yang disembelih dan dibekukan di tempat kejadian, antaranya, kuda belang, kerbau dan seekor singa.

William Black juga berdepan dakwaan penyeludupan manusia.

Dia menjadi buruan di AS sejak 15 tahun lalu atas dakwaan jenayah seks dan melarikan diri ke Mexico,” menurut pendakwa raya.

Dalam perkembangan berasingan, tujuh mayat rentung yang telah ditetak kepada beberapa bahagian ditemui kelmarin dalam beg sampah di sebatang jalan tanah di pekan tenggara Mexico yang menjadi rebutan pengedar gam candu, menurut pihak berkuasa wilayah.

Chilapa yang dihuni kira-kira 120,000 orang, terletak di wilayah pergunungan di negeri Guerrero di mana popi candu ditanam dan kartel dadah berebut kawalan untuk penyeludupan heroin.

Jurucakap pihak berkuasa keselamatan wilayah Roberto Alvarez berkata, kumpulan jenayah terlibat dalam perang kawasan untuk mendominasi dagangan gam candu yang diekstrak daripada bebawang popi untuk menghasilkan heroin.

Awal tahun ini polis membuat penemuan mengerikan enam mayat tidak berkepala di wilayah itu, selain mayat empat lagi lelaki di Chilapa.

Bandar Chilapa merupakan lokasi keganasan melampau hanya 38 kilometer dari Ayotzinapa, lokasi maktab perguruan yang dihadiri 43 pelajar yang lenyap setelah ditangkap anggota polis korup dan diserahkan kepada kartel dadah pada 2014.

Sementara itu, sekurang-kurangnya 16 dilaporkan hilang pada Mei 2015 selepas sekumpulan 300 lelaki bersenjata menguasai bandar tersebut untuk beberapa hari.

Dalam perkembangan berasingan di Kota Mexico, usaha kerajaan untuk menyelamatkan ‘vaquita’, ikan lumba-lumba terkecil di dunia yang amat diancam kepupusan, mengalami tamparan hebat selepas seekor daripada hanya 30 ikan itu yang dipercayai masih wujud di habitat liarnya, mati sejurus ditangkap pihak berkuasa.

Vaquita marina’ yang dikenali sebagai ‘panda laut’ berikutan tanda unik di sekeliling matanya, hampir pupus akibat penangkapan ikan haram. — AFP

Advertisement