Anda di sini

Cabar pelantikan hakim, permohonan Dr M ditolak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin.

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi yang menolak dua permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Dr Mahathir dengan dihadiri Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan Malaysia dan dua hakim berkenaan.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla mewakili Dr Mahathir.

Loke ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menolak kedua-dua permohonan Dr Mahathir selepas berpendapat tiada kewajipan statutori untuk perdana menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan pelantikan Md Raus dan Zulkefli.

Mahkamah menolak permohonan tersebut tanpa sebarang kos,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri berkata pihaknya akan memfailkan rayuan berhubung keputusan semalam di Mahkamah Rayuan dalam masa terdekat.

Dr Mahathir selaku pemohon memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 9 Ogos lepas, dengan menamakan Najib, kerajaan dan Md Raus sebagai responden bagi mendapatkan perintah mandamus supaya mewajibkan perdana menteri dan kerajaan memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan Md Raus.

Nasihat itu bertujuan untuk membatalkan atau menamatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang diberikan pada  25 Mei lalu berkaitan pelantikan Md Raus sebagai Hakim Tambahan bagi Mahkamah Persekutuan dan terus memegang jawatan Ketua Hakim Negara bermula 4 Ogos lalu bagi tempoh tiga tahun.

Dr Mahathir turut memfailkan satu lagi permohonan sama pada 27 Sept lalu dengan menamakan Najib, kerajaan dan Zulkefli selaku responden bagi mencabar pelantikan dan pelanjutan tempoh perkhidmatan presiden Mahkamah Rayuan itu.

Kedua-dua permohonan dikemukakan atas alasan antaranya, dalam Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pelantikan seseorang yang sudah mencapai umur perkhidmatan perlembagaan iaitu 66 tahun, enam bulan untuk memegang jawatan berkenaan. — Bernama

Advertisement