Anda di sini

Rasuah, Arab Saudi berkas putera, menteri

Advertisement

Tolak dakwaan sebagai bermotif politik, bekas presiden Catalonia itu berlindung di Belgium

 Kombinasi gambar menunjukkan (dari kiri) Putera Mohammed yang mengarahkan penahanan Putera Al-Waleed dan Putera Miteb, serta bekas menteri kewangan Abdulaziz Al-Assaf. — Gambar AFP/Reuters
KEMPEN ANTIRASUAH: Kombinasi gambar menunjukkan (dari kiri) Putera Mohammed yang mengarahkan penahanan Putera Al-Waleed dan Putera Miteb, serta bekas menteri kewangan Abdulaziz Al-Assaf. — Gambar AFP/Reuters

RIYADH: Arab Saudi menangkap 11 putera, termasuk bilionair terkemuka, serta puluhan bekas menteri dan sekarang, kata laporan, dalam satu tindakan menyeluruh apabila putera mahkota muda di negara itu mengukuhkan kuasa.

Dalam perkembangan berasingan, ketua Pengawal Negara Saudi, dahulu calon utama untuk menaiki takhta, serta ketua tentera laut dan menteri ekonomi telah digantikan dalam siri pemecatan berprofil tinggi yang menggegarkan negara tersebut.

Tindakan itu dilaporkan sejurus selepas sebuah suruhanjaya antirasuah baharu, diketuai Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 32, yang berkuasa, ditubuhkan oleh dekri diraja lewat kelmarin.

Televisyen Al Arabiya milik Arab Saudi melaporkan putera-putera terbabit, empat menteri sekarang dan puluhan bekas menteri ditangkap selepas suruhanjaya itu melancarkan siasatan ke atas kes-kes lama seperti banjir yang memusnahkan kota Jeddah dekat Laut Merah pada 2009.

Agensi Media Saudi yang dikendalikan oleh kerajaan berkata matlamat suruhanjaya itu adalah untuk memelihara wang awam, menghukum orang korup dan mereka yang mengeksploitasikan kedudukan.

Bilionair Saudi, Putera Al-Waleed bin Talal, adalah antara mereka yang ditangkap, kata laman sesawang berita Saudi tetapi pengesahan rasmi belum dibuat.

Sumber penerbangan berkata, pasukan keselamatan melarang perlepasan jet persendirian di Jeddah, mungkin untuk menghalang tokoh berprofil tinggi daripada meninggalkan negara.

Sementara itu, majlis ulama tertinggi di negara itu menyebut dalam Twitter bahawa usaha antirasuah sama penting dengan perjuangan menentang terorisme, pada asasnya memberi sokongan keagamaan kepada tindakan berkenaan.

Keluasan dan skala penangkapan dipercayai luar biasa dalam sejarah moden Saudi,” kata Kristian Ulrichsen, felo Institut Dasar Awam Baker di Universiti Rice.

Laporan mengenai penahanan Putera Al-Waleed bin Talal, jika benar, akan menggegarkan komuniti perniagaan domestik dan antarabangsa,” kata Ulrichsen.

Tindakan itu diambil tidak sampai dua minggu selepas Putera Mohammed menyambut ribuan gergasi perniagaan global ke Riyadh untuk satu sidang kemuncak pelaburan, yang mempamerkan kempen pembaharuan ekonomi bagi era pasca minyak.

Ia menyusuli gelombang penangkapan aktivis dan ulama berpengaruh pada September lalu apabila putera itu yang dikenali sebagai MBS, mengetatkan genggamannya ke atas kuasa.

Penganalisis berkata, ramai daripada mereka yang ditahan menentang dasar luar Putera Mohammed yang agresif termasuk memulaukan negara jiran di rantau Teluk, Qatar, selain beberapa pembaharuan dasar baginda yang berani, termasuk menswastakan aset kerajaan dan memotong subsidi.

Tindakan terbaharu menyaksikan Putera Miteb bin Abdullah dipecat sebagai ketua Pengawal Negara, sebuah pasukan keselamatan dalam negeri yang elit.

Pemecatan baginda mengukuhkan kawalan MBS ke atas institusi keselamatan di negara itu.

Bagi penganalisis, kenaikan MBS yang begitu cepat kelihatan seperti satu cerita Shakespeare dari segi keagresifan dan perkiraannya.

Pada Jun lalu, baginda mengetepikan sepupunya Putera Mohammed bin Nayef, 58, untuk menjadi pewaris takhta.

Ketika itu, saluran televisyen Saudi menunjukkan MBS yang berjambang mencium tangan putera yang lebih tua itu dan berlutut di hadapan baginda untuk menunjukkan penghormatan.

Laporan media barat kemudian berkata putera yang diketepikan itu telah diletakkan di bawah tahanan rumah, satu dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh pihak berkuasa Saudi.

Putera berkenaan, yang sudah pun dilihat sebagai pemerintah hakiki yang mengawal semua jabatan utama dalam kerajaan, daripada pertahanan hingga kepada ekonomi, dilihat ramai sebagai menghapuskan kesan penentangan dalaman sebelum penyerahan kuasa secara rasmi daripada ayahandanya Raja Salman, 81.

Pada waktu yang sama, baginda menunjukkan peribadinya sebagai reformis liberal di negara ultrakonservatif itu dengan siri langkah berani termasuk keputusan untuk membenarkan wanita memandu bermula Jun tahun depan.

Diplomat asing meramalkan MBS, yang bakal menjadi generasi pertama pada alaf baharu untuk menduduki takhta Saudi, mungkin akan menguasai Arab Saudi sekurang-kurangnya setengah abad. — AFP

Advertisement