Anda di sini

Pengusaha tanaman Malaysia perlu bersedia penuhi permintaan dari China: Ahmad Shabery

Advertisement
 Sekitar Majlis Perasmian Festival Durian Malaysia 2017, Wilayah Guangxi, China yang disempurnakan oleh Shabery dan Pandikar di Nanning, kelmarin. — Gambar Bernama
PERASMIAN: Sekitar Majlis Perasmian Festival Durian Malaysia 2017, Wilayah Guangxi, China yang disempurnakan oleh Shabery dan Pandikar di Nanning, kelmarin. — Gambar Bernama

NANNING: Pengusaha tanaman di Malaysia, khususnya durian ‘Musang King’, perlu membuat persiapan rapi untuk memenuhi permintaan daripada pasaran China yang luas, susulan eksport pertanian ke negara itu diunjurkan mencecah RM12 billion setahun menjelang 2020.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata soal kelulusan bagi kemasukan durian segar ke China kini bukan lagi menjadi kebimbangan berikutan respons positif yang diterima daripada kerajaan China dan masyarakat setempat.

Bagaimanapun, katanya kebimbangan adalah dari segi keupayaan Malaysia untuk memenuhi kehendak pasaran mereka.

Kita sedia maklum permintaan bagi produk pertanian dari Malaysia, terutamanya durian, mempunyai potensi yang besar di China.

Berdasarkan perkiraan, jika kita dapat menjangkau walaupun hanya 30 peratus daripada permintaan China, nilai dagangan akan mencecah RM12 billion dan kita menyasarkan ini menjadi kenyataan menjelang 2020.

Sebagai contoh, sebuah syarikat di China telah meminta bekalan durian sahaja hampir 600 tan sebulan, ini daripada sebuah syarikat yang memohon kepada kita untuk menyediakannya. Ini menuntut persiapan yang rapi untuk memenuhi syarat keperluan yang ditetapkan China,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017), di Nanning, Wilayah Guangxi, China, kelmarin.

MDF2017, yang berlangsung di Nanning, selama tiga hari mulai 3 Nov, merupakan inisiatif kementerian untuk mempromosikan durian segar ‘Musang King’, dan produk-produk yang berkaitan seperti aiskrim, kopi dan sebagainya, serta produk segar lain termasuk nangka madu, nanas dan sarang burung walet.

Mengenai sambutan masyarakat setempat terhadap festival itu, Ahmad Shabery berkata ternyata slogan kementerian, ‘Durian Brings Happiness’ menjadi kenyataan apabila sambutan yang diterima amat memberangsangkan.

Sambutannya sangat hebat dan ia (festival ini) memberi kegembiraan kerana slogan yang kita gunakan, ‘Durian Brings Happiness’ itu sebenarnya menjadi kenyataan apabila ramai orang datang dan beratur panjang dari pagi untuk merasai kenikmatan Musang King.

Ini dilihat sebagai lembaran baharu dalam dunia pertanian kita kerana kita berjaya menampilkan produk Malaysia dengan begitu menonjol sekali dalam festival durian seperti ini,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, susulan sambutan yang menggalakkan itu, kementerian telah menerima permohonan dari bandar-bandar utama China lain agar festival sedemikian dapat diadakan di tempat mereka.

Sekarang ini, sudah ada permintaan bukan sahaja dari Nanning, tetapi juga bandar lain, seperti Hanjiao, Xiamen, Guangzhou dan Beijing sendiri, untuk kita adakan jerayawara pertanian seperti festival ini.

Oleh itu, kita akan terus mempromosikan bukan sahaja durian, malah, nangka dan nanas serta produk akuakultur seperti udang,” katanya. — Bernama

 Shabery (tengah) beramah mesra dengan masyarakat setempat pada Majlis Perasmian Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, Wilayah Guangxi, China, kelmarin. — Gambar Bernama
MESRA MASYARAKAT: Shabery (tengah) beramah mesra dengan masyarakat setempat pada Majlis Perasmian Festival Durian Malaysia 2017 di Nanning, Wilayah Guangxi, China, kelmarin. — Gambar Bernama
Advertisement