Anda di sini

Militan Al-Qaeda serang, tahan pegawai Yaman

Advertisement
 Seorang wartawan (kanan) dan para pejuang Huthi memeriksa tempat kejadian serangan udara di dataran perarakan di Sanaa, kelmarin. — Gambar Reuters
PERANG BERLARUTAN: Seorang wartawan (kanan) dan para pejuang Huthi memeriksa tempat kejadian serangan udara di dataran perarakan di Sanaa, kelmarin. — Gambar Reuters

ADEN: Militan disyaki anggota Al-Qaeda melancar-kan dua pengeboman nekad dan menahan tebusan semalam di Aden, kata pegawai.

Enam pegawai keselamatan maut dalam serangan ke atas ibu pejabat keselamatan dan unit siasatan jenayah di daerah tengah Khor Maksar di Aden di mana kerajaan yang diiktiraf antarabangsa berpangkalan.

Pegawai berpangkat tinggi dalam pasukan keselamatan negara berkata, sebuah kereta sarat bahan letupan yang dipandu seorang anggota Al-Qaeda meletup di luar ibu pejabat keselamatan, menyebabkan kematian enam pegawai terbabit.

Penyerang kedua maut dalam pertempuran bersenjata antara polis dan militan selepas itu.

Militan turut menyerbu bangunan serta membakar fail dan arkib, kata pegawai terbabit.

Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki bersenjata menyerbu unit yang bersebelahan ibu pejabat keselamatan ketika seorang pengebom nekad meledakkan tali pinggang bom di dalam bangunan tersebut, menurut sumber unit.

Seorang lagi penyerang turut mati di tempat kejadian.

Kumpulan penyerang terbabit menahan sejumlah detektif polis daripada unit itu, menurut sumber.

Dua anggota polis wanita ditembak mati di kepala oleh para penyerang yang juga dipercayai ada kaitan dengan Al-Qaeda.

Dalam pada itu, Arab Saudi kelmarin memintas dan memusnahkan satu misil balistik dekat lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang dilancarkan dari Yaman, dalam peningkatan perang dengan pemberontak Huthi yang disokong Iran.

Satu letupan kuat kedengaran dan puing berasap mendarat di dalam Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di utara Riyadh selepas misil itu ditembak jatuh, tetapi pihak berkuasa melaporkan tiada kematian atau kerosakan besar.

Pemberontak Huthi yang melepaskan misil tersebut dari wilayah Yemen kira-kira 1,200 kilomter dari Riyadh mengakui menyasari lapangan terbang itu, menurut saluran televisyen Al-Masirah milik Huthi. — AFP

Advertisement