Anda di sini

Mengenali kanser kolorektal

Advertisement
 Kanser kolorektal sejenis kanser yang bermula dalam kolon (usus besar) atau rektum (dubur) kita.
SARINGAN PENTING: Kanser kolorektal sejenis kanser yang bermula dalam kolon (usus besar) atau rektum (dubur) kita.

DALAM kalangan masyarakat Timur, kita cenderung mengelak sebanyak mungkin daripada bercakap mengenai fungsi bahagian badan kita yang sulit kerana menurut tradisi ia adalah satu subjek yang kasar dan memalukan.

Khususnya, apa sahaja yang ada kaitan dengan usus kita dan pergerakannya biasanya akan membuat segelintir daripada kita rasa malu dan merayu untuk menukar subjek.

Namun malangnya bagi mereka, kesihatan usus kita — kolon (usus besar) dan rektum (dubur) kita khususnya — adalah satu topik penting yang semua kita perlu timbulkan dari semasa ke semasa kerana risiko menghidap kanser usus adalah sesuatu yang benar-benar tulen bagi kita semua.

Sebagai kanser kedua paling biasa di Malaysia dan Sarawak, kanser usus adalah sejenis kanser yang bermula dalam kolon atau rektum kita dan mempunyai anggaran kadar insiden 14.6 dan 11.1 masing-masing bagi setiap 100,000 lelaki dan wanita di Malaysia.

Diperolehi dari ‘Laporan Pejabat Pendaftar Kanser Negara Malaysia 2007 hingga 2011’,perangkaan ini menunjukkan bahawa penyakit ini adalah kanser paling biasa dijumpai di negeri ini di kalangan kaum lelaki dan kanser kedua paling biasa di kalangan wanita.

Di seluruh dunia, kadar kanser global turut mencerminkan trend ini kerana kanser usus masih dalam kelompok tiga kanser paling kerap dihidapi.

Namun walaupun ia adalah kanser yang paling kerap dilihat, laporan itu juga menunjukkan bahawa peratusan kes kanser usus yang dikesan pada Peringkat I dan II adalah hanya 34.1 dan 34.8 peratus sahaja masing-masing bagi lelaki dan wanita.

Bagi menjelaskan kadar kecil ini, Dr Lau Kah Liew, pakar onkologi klinikal dan ahli jawatankuasa Persatuan Onkologi Malaysia (MOS), berkata ini kerana kombinasi kese-daran rendah mengenai penyakit itu serta sifat-sifatnya dan kesukaran untuk mengesannya.

SIMPTOM KANSER

Menurut Dr Lau, sebab utama kenapa kanser usus lebih sukar untuk dikesan berbanding beberapa kanser lain adalah kerana sifat simptomnya yang tidak khusus atau spesifik, sama seperti kanser lain.

Simptom biasa bagi kanser usus adalah perubahan dalam tabiat usus seperti cirit-birit, sembelit, najis tidak lebar, pendarahan rektum (dubur), pembuangan mukus, darah berterusan dalam najis, dan sakit bahagian bawah abdomen, kekembungan atau rasa tidak selesa.

Ia sangat sukar untuk menentukan sama ada salah satu simptom ini sebenarnya adalah disebabkan oleh kanser itu ataupun tidak, kerana simptom seperti sakit bahagian bawah abdomen, kekembungan dan rasa selesa boleh disebabkan dengan mudah oleh perubahan kecil dalam tabiat makan seseorang.

Malah simptom yang tidak biasa seperti pendarahan rektum dan najis berdarah dapat dilihat seperti normal untuk ramai orang kerana mereka hanya akan memikirkan bahawa ia disebabkan hemoroid (buasir) mereka.

Semua simptom ini sangat tidak spesifik dan dapat meniru simptom beberapa penyakit yang sangat biasa,” jelasnya.

Selain itu, pengesanan penyakit itu sukar, kata Dr Lau, kerana ia juga boleh berlaku tanpa sebarang simptom sama sekali pada peringkat awal.

Maka itu, bila berdepan dengan penyakit yang dapat menyamar dan kadang-kadang senyap ini, bagaimanakah kita sebenarnya membantu untuk memupuk kadar pengesanan lebih awal di kalangan masyarakat kita?

Dr Lau mengesyorkan agar kita bermula dengan meletakkan lebih banyak kepercayaan kepada golongan profesional penjagaan kesihatan dan mendapatkan nasihat mereka setiap kali kita mengalami sesuatu yang luar daripada norma.

Contohnya, jika anda kerap mengalami pergerakan usus setiap tahun dan anda tiba-tiba mengalami sembelit atau cirit-birit tanpa banyak perubahan kepada tabiat harian anda, saya akan mencadangkan agar anda masuk untuk pemeriksaan yang cepat sebagai langkah berjaga-jaga,” nasihatnya.

Selain lebih aktif dalam usaha melaporkan keadaan kita yang tidak sihat dan mendapatkan rawatan perubatan, Dr Lau turut menyatakan terdapat beberapa faktor berkaitan gaya hidup yang kita dapat ubah suai untuk membantu mengurangkan risiko menghidap penyakit itu.

 Pejabat Pendaftaran Kanser Negara Malaysia
FAKTA MENAKUTKAN: Sepuluh kanser paling biasa atau umum di Malaysia 2007 –2011. — Sumber: Pejabat Pendaftaran Kanser Negara Malaysia

FAKTOR RISIKO

Bagi kanser usus khususnya, Dr Lau menyatakan kaitan di antara kanser dengan pemakanan, berat badan dan senaman adalah antara yang paling kuat bagi sebarang jenis kanser, seterusnya menekankan kepentingan bagi kita untuk menjalani gaya hidup yang sihat dan aktif.

Risiko menghidap dan mati kerana kanser usus adalah lebih tinggi jika kita mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk dan ini seterusnya diburukkan oleh risiko lebih serius daripada ketidakaktifan fizikal, jadi jika anda lebih aktif, lebih baik.

Dan bagi pemakanan, makanan yang tinggi dengan daging merah dan diproses serta rendah dalam serat boleh meningkatkan risiko menghidap kanser usus.

Selain itu, memasak daging pada suhu tinggi seperti mengering, memanggang dan menyalai mungkin juga mewujudkan kimia yang mungkin meningkatkan risiko kanser.

Saya mengesyorkan pengambilan makanan ini secara sederhana,” katanya.

Tidak melupakan suspek biasa yang menyebabkan kanser, merokok dan pengambilan alkohol berlebihan, Dr Lau memberi amaran tentang tabiat merokok atau meneruskan tabiat itu kerana merokok dengan mudah dapat meningkatkan risiko sebanyak 20 peratus bagi kita untuk menghidap kanser.

Penyakit itu juga telah dikaitkan dengan penggunaan alkohol berlebihan, jadi membataskan minuman yang mengandungi alkohol kepada tidak lebih daripada dua (gelas) sehari bagi lelaki dan satu (gelas) sehari bagi wanita dapat membantu mengurangkan risiko kanser usus,” tambahnya.

Sementara mengamalkan gaya hidup lebih sihat dapat membantu kita mengurangkan risiko menghidap kanser usus, ia juga penting untuk ingat bahawa terdapat faktor risiko yang tidak dapat kita kawal seperti usia lebih lanjut, sejarah polip kolorektal atau penyakit usus radang pada diri atau keluarga, sindrom yang diwarisi bagi kanser, dan diabetes (penyakit kencing manis) jenis dua.

Semua individu yang tergolong dalam kategori-kategori seperti yang disebut di atas mempunyai risiko lebih tinggi untuk menghidap kanser dan disyorkan untuk menjalani pelbagai proses pemeriksaan bagi penyakit itu.

PEMERIKSAAN

Tetapi apa sebenarnya proses pemeriksaan yang disyorkan bagi kanser usus?

Dan apakah yang harus dibuat dengan cara lain oleh individu berisiko tinggi?

Malangnya, tidak ada satu proses pemeriksaan yang dapat disyorkan kerana terdapat banyak garis panduan di dunia yang semuanya mengesyorkan perkara-perkara berlainan.

Beberapa negara menawarkan pemeriksaan menerusi ujian darah ‘fecal occult’ (FOBT) sekali dalam masa dua tahun untuk mengesan darah dalam najis manakala ada yang mengesyorkan kolonoskopi sekali setiap 10 tahun untuk mengesan sebarang pertumbuhan luar biasa.

Bagaimanapun satu perkara yang sama bagi mereka ialah ujian ini biasanya hanya ditawarkan kepada individu yang lebih tua kerana kanser usus jauh lebih biasa berlaku pada usia melebihi 60 tahun.

Maka itu bagi individu berisiko lebih tinggi, Dr Lau berkata, proses pemeriksaan sebenarnya terpulang kepada doktor masing-masing, tetapi ia kemungkinan besar melibatkan pemeriksaan pada usia lebih awal atau dengan kekerapan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau menambah, semua ujian pemeriksaan ini tidak 100 peratus tepat kerana ia mungkin terjejas dengan mudah oleh keputusan positif atau negatif yang palsu.

Khususnya, ujian ‘carcinoembryonic antigen’ (CEA) atau ujian penanda tumor yang biasanya ditawarkan dalam banyak pakej ujian darah, mungkin menunjukkan keputusan positif yang palsu kerana tahap CEA mungkin dipertingkatkan dalam jenis tertentu atau keadaan bukan kanser.

Segelintir pesakit kanser mempunyai tahap CEA normal sedangkan segelintir individu sihat mempunyai tahap tinggi, dan perokok yang tidak ada kanser juga boleh menampakkan nilai CEA yang lebih tinggi,” ujarnya.

Disebabkan oleh hasil palsu yang berpotensi ini, Dr Lau menasihatkan pesakit untuk tidak terlalu risau mengenai keputusan awal ujian pemeriksaan tertentu kerana biasanya lebih daripada satu ujian mungkin diperlukan untuk mengesahkan atau mengetepikan diagnosis bagi kanser usus.

Jika pun pesakit didiagnos dengan kanser, Dr Lau percaya langkah terbaik dalam situasi mereka adalah untuk sentiasa tenang kerana tidak ada perkara dalam hidup yang sama, dan situasi serta kesudahan bagi setiap pesakit adalah berbeza daripada satu sama lain.

Apabila kita didiagnos dengan kanser usus atau jenis kanser lain, jangan tertekan mengenai kadar ‘survival’ kerana ia hanyalah anggaran bagi kemungkinan rawatan anda akan berjaya dan tidak sebenarnya meramalkan apa yang akan berlaku dalam kes mana-mana individu.

Sebaliknya, perkara terbaik untuk dilakukan adalah untuk terus tenang dan mendapatkan kefahaman yang lebih baik mengenai pilihan rawatan anda kerana sekarang adalah peluang keemasan untuk memulakan rawatan dan mengawal penyakit.

Kerana penyakit hanya diubati apabila pesakit bersedia untuk mengatasinya.

Seorang doktor hanya membantu mereka untuk menentang penyakit mereka. Ia adalah pesakit sendiri yang menentang penyakit,” katanya.

 Pejabat Pendaftaran Kanser Negara Malaysia
STATISTIK: Kadar insiden jenis kanser utama di Malaysia bagi kaum lelaki dan kaum perempuan dari 2007 hingga 2011. — Sumber: Pejabat Pendaftaran Kanser Negara Malaysia

CARA RAWATAN

Bagi kanser usus, pembedahan biasanya rawatan utama bagi kes di mana kanser hanya dijumpai pada satu bahagian badan sahaja: ia mungkin digunakan bersendirian atau bersama rawatan lain seperti kemoterapi atau terapi radiasi.

Rawatan ini boleh diberikan sebelum pembedahan untuk mula-mula menyusutkan tumor, atau selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko kanser daripada berlaku semula.

Dalam tempoh lima tahun pertama ketika kanser semakin reda, peluang ia untuk kembali adalah paling tinggi, dan sebab itulah biasanya kemoterapi dalam bentuk pil atau titisan intravena diberikan kepada pesakit untuk membantu menguruskan risiko ini.

Selain itu, kolonoskopi turut disyorkan setahun selepas rawatan asas berakhir dan, jika keputusan adalah normal, sekali lagi dalam tempoh tiga tahun, kemudian sekali dalam tempoh lima tahun.

Kanser adalah penyakit untuk diurus bukan untuk disembuhkan.

Sementara idea tentang kanser yang berulang adalah sesuatu yang menakutkan bagi ramai bekas pesakit kanser, Dr Lau mengajukan perspektif yang berlainan mengenai situasi itu.

Bagi saya, saya melihat kanser sebagai penyakit kronik seperti hipertensi, diabetes dan penyakit jantung. Dan sama seperti penyakit tersebut, kanser adalah untuk diurus dan bukan untuk disembuhkan.

Ia bukanlah hukuman mati, ia hanya sejenis penyakit, dan daripada terlalu memikirkan sama ada ia akan kembali atau tidak, kita sepatutnya fokus kepada usaha mencapai kebahagiaan diri kita sendiri.

Tidak kira betapa sihat atau kayanya kita, masing-masing ada 24 jam sehari.

Jadi jalanilah setiap hari sepenuhnya,” katanya.

DR LAU KAH LIEW
DR LAU KAH LIEW

MENGENAI DR LAU KAH LIEW

- Pakar onkologi klinikal di Pusat Perubatan Borneo dan ahli Jawatankuasa Persatuan Onkologi Malaysia.

- Sejak beliau lulus dari sekolah perubatan pada 2001, Dr Lau telah mendapat peluang untuk bertugas di seluruh Malaysia dalam pelbagai jabatan.

- Bagaimanapun beliau akhirnya memberi tumpuan kepada bidang onkologi dan selepas beliau menamatkan latihan pakarnya pada 2010, beliau pulang ke Sarawak pada 2013 untuk berkhidmat sebagai pakar onkologi klinik tetap di Pusat Perubatan Borneo.

- Apabila ditanya kenapa beliau memilih untuk menjadi pakar onkologi, beliau berkata, “Jika saya dapat membantu pesakit menerima diagnosis kanser mereka, ia pasti pengalaman yang sangat berbaloi bagi saya.

Kerana tidak semua orang dapat menerima penyakit itu, dan apabila mereka dapat menerimanya, mereka akan lebih bersedia untuk bekerja sama dengan saya dalam usaha merawat dan mengurus penyakit mereka.”

  • oleh
  • Advertisement