Anda di sini

JPS kenal pasti dan selesaikan isu tanah

Advertisement

Bantu industri minyak sawit Sabah capai sasaran pematuhan RSPO menjelang 2025

SANDAKAN: Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) sedang mengenal pasti dan menyelesaikan isu tanah untuk membantu industri minyak sawit negeri ini mencapai sasaran pematuhan penuh di bawah Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) menjelang 2025.

Ketua Pemuliharaan Hutan Datuk Sam Mannan berkata dengan mencapai standard yang ditetapkan di bawah RSPO mengenai alam sekitar dan tadbir urus, Sabah akan dapat bersaing dengan negara lain sebagai pengeluar minyak sawit lestari.

RSPO merupakan organisasi antarabangsa bukan berasaskan keuntungan yang menggalakkan produk minyak sawit lestari melalui standard global.

Seluruh negeri Sabah (minyak sawit yang dihasilkan di negeri ini) akan diperakui menjelang 2025 dan ini boleh dicapai dengan menarik semua penggiat termasuk pekebun kecil untuk mencapai kecekapan dan menguntungkan dari segi kos,” katanya pada taklimat media di pejabat Jabatan Perhutanan Sabah, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata Jabatan Perhutanan bekerjasama dengan peserta minyak sawit di bawah program bidang kuasa RSPO berikutan industri tersebut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada eksport negeri.

Dalam mencapai bidang kuasa yang ditetapkan oleh RSPO, katanya antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan ialah menilai dan menentukan jenis hutan.

Dengan mengkaji hutan dan membahagikannya kepada kategori seperti jenis tanah, rizab hutan atau kawasan dengan stok karbon tinggi, akan memudahkan analisis dan keputusan dasar.

Bagaimanapun, masih terdapat cabaran dalam proses bidang kuasa, terutamanya dalam menyelesaikan definisi tanah dengan Nilai Konservasi Tinggi (HCV) dan apa yang membentuk penebangan hutan.

Menurut Sam, langkah ini penting untuk menyelesaikan isu pampasan dan hutan yang perlu diketepikan dan tidak disentuh bagi apa sebarang tujuan sekali pun.

Berdasarkan prinsip dan kriteria RSPO, penanam dikehendaki melengkapkan penilaian HCV ke atas tanah untuk penanaman baharu mulai November 2005.

Sementara itu, Pengarah Teknikal RSPO Salahudin Yaacob berkata: “Sebarang penanaman selepas 2005, mesti dlakukan bersama kajian HCV dan sebarang penukaran tanah tidak boleh menjejaskan kawasan HCV.”

Beliau berkata ini perlu berikutan pensijilan tidak boleh diberikan di bawah RSPO jika terdapat penanaman dilakukan di kawasan HCV selepas 2005.

Sebarang penukaran tanah HCV, katanya, perlu disertakan dengan pelan pampasan yang dinilai dan diluluskan oleh panel RSPO.

Cynthia Ong, Pengerusi Lembaga dan Ketua Fasilitator Eksekutif Forever Sabah, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, memberitahu pada taklimat itu perbincangan adalah perlu mengenai siapa yang akan membayar pampasan bagi penebangan hutan di kawasan tanah di bawah HCV selepas 2005.

Adakah ini melibatkan kerajaan negeri yang perlu memberi pampasan bagi tanah di bawah Kawasan Dilindungi Sepenuhnya (TPA).

Ini masih terbuka untuk perbincangan,” katanya. — Bernama

Advertisement