Anda di sini

INCEIF perluas program sarjana dalam kewangan hijau, fintech

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) menyasarkan untuk memperluaskan program sarjananya dalam kewangan Islam dalam bidang kewangan hijau dan teknologi kewangan (fintech), kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Azmi Omar.

Beliau berkata prinsip kewangan Islam dapat menyokong pembangunan hijau, manakala fintech akan diletakkan dengan kewangan sosial seperti zakat dan wakaf, sebagai model ekonomi, bukan sebagai pendekatan agama tradisional.

Dalam beberapa tahun akan datang, hijau, etika, kewangan sosial dan fintech akan digunakan dalam program sarjana INCEIF supaya terdapat pengkhususan dan tumpuan baharu dalam bidang tersebut,” katanya kepada Bernama selepas Konvokesyen Kesembilan INCEIF di sini kelmarin.

Mohd Azmi berkata INCEIF melihat banyak potensi dalam bidang hijau dan akan lebih banyak terlibat dalam pembangunan instrumen sukuk hijau dan mekanisme pembiayaannya.

Beliau berkata INCEIF dijangka menandatangani perjanjian dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk menerima geran bagi menyediakan komponen penyelidikan dan khidmat nasihat untuk menyokong pembangunan sukuk hijau bagi usaha tenaga boleh baharu di negara ini.

Mengenai masa depan, Mohd Azmi berkata INCEIF akan menggabungkan asas berteraskan amalan dengan lebih banyak program berasaskan industri untuk memberi penyelesaian sebenar kepada organisasi.

Pelajar dan profesor kami akan menjadi sebahagian daripada perunding atau penyelidik untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh syarikat atau institusi kewangan berkaitan dengan kerja mereka, misalnya, berkaitan dengan pelaksanaan kewangan mikro atau kewangan hijau dalam organisasi,” katanya. — Bernama

Advertisement