Anda di sini

CIS tingkat kapasiti pengeluaran penuhi peningkatan permintaan simen

Advertisement

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) akan memperbesarkan lagi kapasiti kilang pengeluaran simen di Teluk Sepanggar bagi memenuhi permintaan simen yang semakin meningkat.

Pengarah Eksekutif CIS Bahrul Razha Chuprat berkata kapasiti itu akan diperbesarkan bagi menampung tambahan sebanyak satu juta tan simen di kilang berkenaan.

Beliau berkata projek itu dianggarkan memerlukan pelaburan modal RM500 juta. Pelaksanaannya sudah diluluskan oleh Ahli Lembaga Pengarah CIS dan ia dijangka mula beroperasi pada 2020.

Katanya CIS menunjukkan peningkatan pesat saban tahun dan hari ini CIS Sabah merekodkan permintaan tinggi simen melebihi satu juta tan metrik setahun.

CIS berjaya memenuhi permintaan ini dengan membekalkan simen berkualiti tinggi melalui kilangnya yang berpusat di Teluk Sepanggar dan Terminal Simen Lahad Datu.

Malah, CIS juga muncul sebagai pembekal simen utama negeri dan wilayah Persekutuan Labuan. Simen Cap Gajah menjadi trademark simen CIS yang diibaratkan sebuah jenama yang kukuh,” katanya semasa Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-35 CIS Sdn Bhd.

Menurutnya simen cap gajah itu sinonim dengan keluaran berkualiti tinggi.

Tema sambutan ulang tahun itu adalah 35 tahun of Solid Foundation. Ia melambangkan kejayaan CIS yang menyumbang kepada asas pembangunan di negeri ini selama 35 tahun kewujudannya.

Sementara itu Pengerusi CIS Datuk Samsudin Yahya berkata CIS perlu lebih agresif dalam memperbesarkan perniagaannya melalui projek pembesaran kilangnya.

Ini kerana keadaan ekonomi sekarang semakin mencabar. Tahap persaingan syarikat tempatan dijangka akan lebih sengit berikutan era globalisasi dan dasar liberalisasi perdagangan yang diterima meluas seluruh dunia.

Atas sebab itu, CIS perlu terus kukuh dan mengekalkan prestasi baiknya sebagai pembekal utama simen negeri ini. Ia termasuklah berusaha meningkatkan kapasiti pengeluaran simen bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat pada masa depan.

Beliau berkata CIS juga sentiasa membantu golongan kurang bernasib baik dibawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat mereka.

CIS membantu masyarakat setempat memperbaiki dan menaik taraf Asrama Hospital Kudat, Tapak Permainan Kompleks Sukan Likas dan memberi bantuan kewangan kepada beberapa Rumah Anak Yatim. — Bernama

Advertisement