Anda di sini

Bursa Malaysia dijangka kukuh minggu ini

Advertisement

Pembeli saham semasa harga rendah dijangka memain peranan aktif dalam pasaran

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dijangka kukuh minggu ini dengan peniaga yang membeli saham semasa harga rendah dijangka mengambil bahagian secara aktif dalam pasaran berikutan bursa tempatan berada pada aliran menurun selama hampir lapan minggu.

Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata peniaga yang membeli saham semasa harga rendah dijangka membeli saham yang merosot dalam beberapa bulan ini.

Indeks petunjuk pasaran dijangka mencecah paras 1,750 minggu depan (minggu ini),” katanya kepada Bernama, sambil menambah faktor luaran yang kukuh turut menyuntik faktor positif kepada pasaran tempatan.

Beliau berkata peningkatan harga minyak, harga komoditi dan pelantikan Pengerusi Rizab Persekutuan yang baharu akan menambah keyakinan pelabur dalam dasar Fed.

Pasaran ekuiti Asia dan Dow Jones bergerak pada aliran meningkat dan mengapa Malaysia berada pada trend yang bertentangan,” katanya.

Beliau berkata pasaran tempatan dijangka mendapat inspirasi daripada momentum yang meningkat di pasaran serantau.

FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup rendah pada minggu pertama November.

Bagi asas mingguan, petunjuk pasaran FBM KLCI susut 5.20 mata kepada 1,740.93 daripada 1,746.13 pada Jumaat lepas.

Indeks FBM Emas naik 11.55 mata kepada 12,563.16, Indeks FBMT 100 menokok 6.01 mata kepada 12,197.48, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 29.17 mata kepada 13,027.28 dan FBM 70 menambah 165.15 mata kepada 15,478.46.

FBM Ace jatuh 24.07 mata kepada 6,857.27.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 25.0 mata kepada 16,283.44, Indeks Perladangan menokok 39.48 mata kepada 7,990.95 dan Indeks Perusahaan susut 26.56 mata kepada 3,117.61.

Jumlah dagangan meningkat kepada 14.80 bilion unit bernilai RM11.30 bilion daripada 12.96 bilion unit bernilai RM10.76 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 9.99 bilion saham bernilai RM10.50 bilion daripada 8.68 bilion saham bernilai RM9.97 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.31 bilion saham bernilai RM111.45 juta daripada 777.52 juta unit bernilai RM80.23 juta minggu lepas.

Pasaran ACE naik kepada 3.45 bilion saham bernilai RM682.35 juta daripada 3.43 bilion unit bernilai RM695.06 juta sebelum ini. — Bernama

Advertisement