Anda di sini

27 korban Damrey di selatan Vietnam

Advertisement
 Penduduk meredah banjir yang menenggelami lebuh raya di wilayah tengah Dak Lak susulan kemaraan Taufan Damrey kelmarin. — Gambar AFP
DIBADAI: Penduduk meredah banjir yang menenggelami lebuh raya di wilayah tengah Dak Lak susulan kemaraan Taufan Damrey kelmarin. — Gambar AFP

DANANG: Sekurang-kurangnya 27 maut dan 22 hilang selepas Taufan Damrey membadai Vietnam, kata pihak berkuasa semalam.

Ratusan ribu rumah musnah dan lebuh raya ditenggelami air beberapa hari sebelum negara itu mengalu-alukan ketibaan para pemimpin dunia pada sidang kemuncak APEC.

Ribut tersebut yang mendarat kelmarin, adalah yang terburuk sejak puluhan tahun dan membadai wilayah pesisiran pantai selatan di kawasan yang lazimnya jarang dibadai taufan kerana lebih kerap berlaku di wilayah jauh utara.

Lebih 40,000 rumah rosak ketika hujan lebat dan angin selaju 130 kilometer sejam membadai kawasan tersebut, menyebabkan puluhan maut dan hilang, menurut pejabat pengurusan bencana.

Wilayah pesisiran pantai Khanh Hoa yang terkenal dengan pantai berpasir putih Nha Trang, paling teruk terjejas dengan 16 kematian dan 10 kecederaan, menurut kerajaan.

Lebih 30,000 dipindahkan menjelang kemaraan ribut di tengah Vietnam, termasuk pelancong asing.

Gambar menunjukkan para penduduk meredah banjir separas lutut di beberapa bandar manakala tiang elektrik dan pokok tumbang menghadang jalan raya.

Kira-kira 300 kapal musnah, menurut kerajaan, manakala pihak berkuasa tempatan berkata bandar Tuy Hoa di wilayah Phu Yen tidak pernah menyaksikan kemusnahan seteruk ini.

Terdapat laporan mengenai kerosakan lebih kecil kira-kira 500 kilometer ke utara di Danang, bandar pesisiran pantai yang akan menganjurkan sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) minggu depan.

Penduduk tempatan berkata, angin kuat dan hujan lebat menumbangkan papan tanda yang mempromosikan sidang tersebut yang bakal dihadiri Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping.

Kira-kira satu jam pemanduan ke selatan di Hoi An, bandar pelabuhan indah dan hentian popular pelancong ke Vietnam, penduduk tempatan berkata air setinggi 1.5 meter menjejaskan beberapa bahagian di bandar itu.

Air mulai naik di kawasan lama,” menurut Dinh Thi Xuan Hoa kepada media tempatan VNExpress, merujuk kepada bahagian bandar itu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO ekoran seni binanya yang unik.

Vietnam telah dibadai kira-kira 12 ribut utama sejak awal tahun ini, membabitkan 240 kematian atau kehilangan dalam banjir dan tanah runtuh.

Kira-kira 80 maut dalam tempoh beberapa minggu selepas Taufan Doksuri membadai wilayah tengah pada September, memusnahkan ribuan rumah dan mencetuskan banjir teruk.

Bank Dunia berkata, bencana alam di Vietnam menyebabkan lebih 13,000 maut dan kerosakan harta benda lebih AS$6.4 bilion sejak 20 tahun lalu. — AFP

Advertisement