Anda di sini

Scoot perkenal laluan baharu hubungkan Kuching, Singapura

Advertisement
 Pesawat A320 Scoot membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, 29 Oktober lalu.
MENYERLAH: Pesawat A320 Scoot membuat pendaratan sulung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, 29 Oktober lalu.

KUCHING: Scoot Tigerair Pte Ltd (Scoot) terus memperluaskan jangkauan ke Malaysia menerusi laluan baharu yang menghubungkan Kuching dengan Singapura, sekali gus memperkukuh kedudukannya untuk mencapai pertumbuhan baharu dalam industri penerbangan kos rendah global.

 Ketua Pegawai Komersial Scoot, Vinod Kannan berkata, laluan baharu itu merupakan destinasi kelima bagi cabang penerbangan kos rendah Singapore Airlines Group, selepas Ipoh, Kuala Lumpur, Langkawi dan Pulau Pinang.

 “Kita amat teruja memilih Kuching sebagai destinasi pertama kita di Malaysia Timur, kerana ia merupakan satu destinasi yang hijau, dan menarik dari segi alam sekitar, penggembaraan, seni bina, makanan, dan kepelbagaian budaya serta masyarakatnya.

 “Pelanggan sasaran kita adalah golongan muda, serta yang muda di hati, dan kita berpendapat bahawa ia bersesuaian dengan apa yang Kuching tawarkan,” katanya dalam sesi bersama media di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura, baru-baru ini.

 Vinod berkata, Scoot turut bekerjasama rapat dengan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan Kementerian Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam usaha mempromosikan laluan baharunya tersebut.

 Malah dalam pengiklanan dan aktiviti media sosial katanya, Scoot juga menampilkan tarikan-tarikan Kuching seperti makanan, serta tempat-tempat lain yang boleh dilawati di kepulauan Borneo.

 “Kita lakukan ini sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat agar orang sedar akan tarikan Kuching,” katanya.

 Mengulas mengenai persaingan dengan syarikat penerbangan tambang rendah lain, Vinod berkata, pihaknya percaya Scoot menyerlah berbanding yang lain dari segi penekanan aspek keselamatan, prestasi tepat pada masa dan kecekapan kakitangan.

 “Kita menerima saingan bukan sahaja dari syarikat penerbangan tambang murah tetapi juga yang menawarkan perkhidmatan penuh.

 “Kami berharap untuk menambah baik pengalaman pengembaraan pelanggan kami dengan memberi layanan Scootitude yang ceria lagi unik sepanjang penerbangan ... dan kami rasa, faktor ini membezakan kita dari syarikat penerbangan lain,” katanya.

 Vinod turut positif bahawa laluan Singapura dengan Kuching dapat mencapai kadar penumpang dalam pesawat antara 85 hingga 86 peratus, seperti empat destinasi pertamanya di negara ini.

 Penerbangan sulung yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sekitar 9.55 malam pada 29 Oktober lalu di mana penumpang pesawat A320 menerima sambutan mesra dengan iringan tarian tradisional anjuran STB.

 Hadi r mener ima penumpang penerbangan sulung dari Singapura, yang turut dinaiki Vinod ialah Setiausaha Tetap dan Kementerian Pelancongan, Keseniaan, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datu Ik Pahon Joyik dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif STB, Mary Wan Mering.

 Pelancaran penerbangan ke Kuching menjadikan rangkaian Scoot kini merangkumi 60 destinasi di 16 negara.

 Sempena selesainya penggabungan Scoot-Tigerair di bawah satu jenama Scoot, syarikat itu pada 25 Julai lalu mengumumkan rancangannya untuk memulakan perkhidmatan ke empat lagi destinasi - Kuantan di Malaysia, Honolulu di Amerika Syarikat, Harbin di Timur Laut China dan Palembang di Indonesia.

 Untuk menikmati tiket penerbangan kos rendah, orang ramai boleh melayari FlyScoot.com. Kunjungi Facebook.com/ FlyScoot, Instagram.com/ FlyScoot, dan Twitter.com/ flyscoot untuk maklumat lanjut.

Advertisement