Anda di sini

Kes Bergdahl, hakim tentera jatuh hukuman ringan

Advertisement
 Bergdahl beredar dari mahkamah selepas perbicaraan kesnya di mahkamah tentera di Fort Bragg, Carolina Utara kelmarin. — Gambar Reuters
DIBERI PELUANG: Bergdahl beredar dari mahkamah selepas perbicaraan kesnya di mahkamah tentera di Fort Bragg, Carolina Utara kelmarin. — Gambar Reuters

WASHINGTON: Bowe Bergdahl, askar Amerika Syarikat (AS) dan bekas tahanan Taliban yang dikecam sebagai pengkhianat oleh Presiden Donald Trump, tidak akan dipenjarakan kerana meninggalkan tugasnya di Afghanistan, hakim tentera membuat keputusan kelmarin.

Selepas perbicaraan tegang politik yang memarakkan perpecahan berhubung perang di Afghanistan yang sudah memasuki tahun ke-16, Kolonel Jeffery Nance mengarahkan Bergdahl dipecat tanpa penghormatan, diturunkan pangkat daripada sarjan kepada prebet dan membayar denda AS$10,000.

Trump yang mana semasa berkempen untuk pilihan raya presiden tahun lepas kerapkali menyeru Bergdahl dihukum, mengecam keputusan mahkamah tentera di Fort Bragg, Carolina Utara.

Keputusan ke atas Sarjan Bergdahl amat memalukan negara dan pasukan tentera kita,” menurut Trump dalam Twitter dari pesawat Air Force One, ketika beliau dalam perjalanan ke Asia untuk lawatan maraton hampir dua minggu.

Peguamnya Eugene Fidell berkata, Bergdahl berasa lega dengan keputusan tersebut.

Rayuannya yang dibuat tanpa perlindungan perjanjian praperbicaraan dan kenyataan menyayat hati yang dibuatnya awal minggu ini adalah bukti paling kuat penyesalannya,” menurut Fidell.

Bergdahl berdepan hukuman penjara seumur hidup selepas mengaku bersalah atas dakwaan meninggalkan tugas dan membahayakan nyawa rakan sepasukannya apabila meninggalkan unitnya di sebuah kem kecil di timur Afghanistan pada 2009.

Dia ditangkap sejurus selepas itu oleh Taliban dan diserahkan kepada kumpulan kejam Haqqani, yang menahannya selama lima tahun di negara jiran Pakistan.

Dia akhirnya dibebaskan pada 2014 sebagai pertukaran bagi lima pejuang Taliban dalam perjanjian yang dikecam hebat presiden ketika itu Barack Obama.

Namun perbicaraan yang panjang itu mendedahkan bahawa semasa ditahan, Bergdahl diseksa dan diasingkan hampir sepanjang masa.

Perbicaraan turut membangkitkan persoalan sama ada dia sebenarnya layak untuk berkhidmat dalam tentera.

Sebelum menyertai tentera, Bergdahl ditolak pasukan Pengawal Pantai sebagai ‘tidak layak dari segi psikologi’ hanya selepas 26 hari menjalani latihan asas.

Para peguam Bergdahl beberapa kali cuba menuntut dakwaan ke atasnya dibatalkan, menyatakan komen oleh Trump dan Senator John McCain yang menyeru hukuman penjara yang berat menyamai ‘pengaruh arahan tidak sah’ di mana pegawai kanan dengan kuasa ke tas tentera mengenakan pengaruh yang berpotensi mengubah keputusan mahkamah.

Nance kerapkali menolak pertikaian bahawa beliau akan bersikap berat sebelah atau berasa tertekan dengan kenyataan Trump.

Namun awal minggu ini semasa fasa penjatuhan hukuman, beliau memberi amaran komen Trump boleh mempengaruhi hukuman.

Sesetengah pihak melabel Bergdahl sebagai pengkhianat yang menyebabkan rakan seperjuangan dalam unitnya cedera parah.

Sepanjang minggu pendakwa raya memanggil askar yang cedera ketika menyertai misi mencari Bergdahl, termasuk seorang yang terkena tembakan di kepala dan lumpuh seumur hidup.

Namun ada juga menganggap Bergdahl sebagai mangsa perang.

Bergdahl mendakwa dia meninggalkan pos kawalannya pada 2009 untuk pergi ke pangkalan AS yang lebih besar merentasi kawasan luar bandar timur Afghanistan yang merupakan kubu kuat Taliban, untuk melaporkan masalah arahan dalam unitnya.

Ketua siasatan tentera Mejar Jeneral Kenneth Dahl memberitahu mahkamah Bergdahl mungkin berhalusinasi ketika itu.

Dahl turut berpendapat memenjarakan Bergdahl setelah apa yang dilaluinya ketika bersama Haqqani sebagai perkara tidak wajar.

Dalam kenyataannya, Fidell membidas Trump kerana campur tangannya yang tidak berprinsip dan berpotensi mencetuskan kemarahan umum. — AFP

Advertisement