Anda di sini

Remaja lelaki didakwa melakukan rompak berkumpulan

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang remaja warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas pertuduhan rompak berkumpulan.

Roslan Abdul Latip, 18, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ainul Mohd Shahrin, yang mana didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh bersama dengan empat orang yang masih bebas, merompak seorang lelaki berusia 20 tahun, merampas sebuah dompet dan telefon bimbit.

Kesalahan dilakukan pada 13 September jam 5.30 petang di laluan pejalan kaki bersebelahan Oceanus Mall, di sini.

Mahkamah menetapkan pada 28 November untuk pengurusan kes, manakala pada 9 hingga 10 April 2018 sebagai tarikh perbicaraan terhadap tertuduh.

Tiada jaminan diberikan kepada tertuduh yang diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Dinesh Raja.

Dalam kes berasingan, dua lagi lelaki warga asing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang sama.

Hakim Azreena Aziz menetapkan pada 21 hingga 22 Februari tahun hadapan sebagai tarikh perbicaran terhadap Faizal Nasir, 25, dan Abdul Kalam Abdul Wahid, 20.

Mereka merompak seorang remaja lelaki warga asing berusia 18 tahun, merampas sebuah telefon pintar pada 18 September jam 6.15 petang di kawasan parkir, tingkat 3, Centre Point, di sini.

Tiada jaminan diberikan kepada mereka yang diperintahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwaraya Husna Abd Halim memberitahu, pihak pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberikan keterangan ketika perbicaraan.

Sementara itu, Faizal dikenakan penjara empat bulan dan satu sebat, manakala Abdul Kalam dipenjara empat bulan, selepas mengaku bersalah memasuki negara ini secara haram.

Advertisement