Anda di sini

Jiwa pendidik sebenar dalam telemovie ‘Kabus di Lembah’ di TV1

Advertisement
__alt__

TIDAK kira di mana kita ditugaskan, amanah tetap wajib ditunaikan.

Kisah seorang guru yang cuba mempertahankan kawasan flora dan fauna Lembah Belum yang hampir terancam dengan arus pembangunan melatari telemovie bertajuk ‘Kabus di Lembah’ yang bakal disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Drama sarat dengan motivasi dan inspirasi terutama buat golongan bergelar pendidik lakonan Uqasha Senrose, Zulhuzaimy, Nisha Dirr, Zain Hamid, Ann Raja Lawak dan Zack Idris ini menemui penonton pada jam 3.05 petang ini (4 November) menerusi saluran TV1.

Diarahkan Zulhuzaimy Marzuki, ‘Kabus Di Lembah’ berkongsi memaparkan kisah Cikgu Hakim dihantar oleh bapanya mengajar di Sekolah Anak Orang Asli di Lembah Belum. Meskipun terkejut menerima berita itu namun Cikgu Hakim terpaksa akur.

Pada mulanya Cikgu Hakim sukar menyesuaikan diri tetapi akhirnya suka dengan suasana di situ. Apatah lagi dia jatuh cinta dengan Indah, anak Tok Batin di kampung itu.

Dia berusaha membentuk kekuatan dalam dirinya untuk terus bertahan menjalani kehidupan serba kekurangan di kampung dan sebagai pendidik di sekolah tersebut. Banyak pengalaman hidup dikutipnya sepanjang berada di situ.

Sementara itu Indah yang juga pelajar lulusan Sarjana dari Universiti Amerika Syarikat memilih untuk mengajar di kampungnya. Dia nekad mahu membantu anak golongan Asli untuk berjaya dan mengubah kehidupan mereka.

Tanpa disedari oleh Cikgu Hakim, bapanya mengupah orang untuk memujuk Tok Batin menandatangani surat perjanjian untuk membangunkan daerah itu menjadi pusat pelancongan bertaraf lima bintang.

Segalanya dilakukan untuk mengaut untung besar. Namun perkara itu disembunyikan daripada pengetahuan anaknya kerana dia menyedari Cikgu Hakim pasti akan membantah rancangan jahatnya itu.

Satu hari Indah telah diculik dan kemudian rumah tempat dia dikurung dibakar. Cikgu Hakim berjaya menyelamatkan Indah tetapi malangnya dia pula telah terkorban apabila masuk semula ke rumah yang terbakar itu untuk menyelamatkan Arman orang upahan bapanya.

Adakah bapa Cikgu Hakim meneruskan hasratnya untuk membangunkan daerah tersebut?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my).

Advertisement