Anda di sini

Dua wanita dituduh curi lebih RM17,000 tambah nilai Touch ‘N Go

Advertisement

PUTRAJAYA: Dua pembantu tadbir Jabatan Audit Negara didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam atas 235 pertuduhan mencuri tambah nilai Touch n’ Go milik majikannya berjumlah RM17,813, antara Disember tahun lepas hingga April lalu.

Farizah Nekmat, 37, mengaku tidak bersalah terhadap 69 pertuduhan mencuri tambah nilai kad tersebut berjumlah RM5,137 manakala Normaidzatulaqma Iskandar, 36, turut membuat pengakuan sama terhadap 166 pertuduhan melibatkan jumlah RM12,676.

Mereka didakwa mencuri tambah nilai antara RM1 hingga RM100 dengan menggunakan tujuh keping kad Touch n’ Go di terminal tambah nilai di Aras 2, Cawangan Pentadbiran, Sektor Pengurusan, Jabatan Audit Negara, Presint 2, di sini, antara 5 Dis 2016 hingga 24 April lalu.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang seterusnya hendaklah dihukum penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.

Majistret Azizah Ahmad menetapkan Farizah dikenakan wang jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamn manakala Normaidzatulaqma RM14,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada hari pertama setiap bulan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Dis ini untuk sebutan semula kedua-dua kes tersebut bagi membolehkan mereka melantik peguam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Izzat Fauzan memohon mahkamah mengenakan wang jaminan yang tinggi dengan alasan kemungkinan kedua-dua tertuduh menghilangkan diri kerana menghadapi banyak pertuduhan.

Dalam rayuan memohon wang jaminan rendah, Farizah berkata dia mempunyai tiga orang anak berusia antara dua hingga 17 tahun dan terpaksa menjaga ibunya manakala suaminya menanggung ibu bapanya.

Normaidzatulaqma, yang juga ibu tunggal, pula membuat rayuan sama dengan alasan terpaksa menanggung empat orang anak berusia antara lapan hingga 18 tahun selain membayar hutang bekas suaminya. — Bernama

Advertisement