Anda di sini

Dera dua anak: Bapa dipenjara empat tahun

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang bekas banduan semalam dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan memukul dua anaknya berusia enam dan tujuh tahun sehingga bengkak di bahagian badan.

Hakim Dr Gan Chee Keong menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan terhadap bapa berusia 26 tahun itu dan memerintahkan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula  26 Okt lalu.

Tertuduh  turut dikenakan bon berkelakuan baik selama setahun serta diletakkan di bawah pengawasan pihak polis selama setahun.

“Tertuduh juga tidak boleh melakukan sebarang penderaan secara fizikal dan mental pada kanak-kanak.

Tertuduh turut diperintahkan menjalani 40 jam khidmat masyarakat dalam tempoh lima bulan selepas keluar dari penjara,” kata hakim itu.

Tertuduh, yang bekerja sebagai tukang kebun, didakwa dengan sengaja mendera anak perempuannya berusia enam tahun dengan memukul beberapa kali pada bahagian lengan kanannya sehingga bengkak, di sebuah rumah di Setapak Jaya, di sini, pada jam 2 petang hingga 6.30 petang, 20 Okt lalu.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh memukul anak lelakinya berusia tujuh tahun pada bahu kiri dan kepala sehingga bengkak bahu kiri, di rumah yang sama, pada jam 2.30 petang hingga 6.30 petang, 23 Okt lalu.

Bagi kedua-kedua pertuduhan itu, lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau hukuman penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan dengan alasan dia insaf atas perbuatannya itu.

“Baharu bulan Ogos lepas saya keluar dari penjara. Saya insaf dan minta maaf atas perbuatan saya. Saya masih sayangkan anak-anak saya, mereka banyak nakal sebab itu saya pukul. Beri saya satu peluang,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Amirul Asyraf Abdul Rasid memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan sebagai bapa, tertuduh sepatutnya melindungi anaknya, bukan menyebabkan kesakitan sehingga ada kesan lebam di badan mangsa. — Bernama

Advertisement