Anda di sini

‘Datuk Seri’ dituduh serang, cederakan 3 anggota RELA

Advertisement
 Liow yang mengaku dirinya bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ampang dekat Kuala Lumpur, semalam bagi empat pertuduhan berhubung kes memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, minggu lepas. — Gambar Bernama
DIBICARA: Liow yang mengaku dirinya bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ampang dekat Kuala Lumpur, semalam bagi empat pertuduhan berhubung kes memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, minggu lepas. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang mengaku dirinya bergelar ‘Datuk Seri’ dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ampang di sini, semalam bagi empat pertuduhan berhubung kes memukul tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ketika bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, minggu lepas.

Liow Soon Hee, 29, yang memakai kemeja putih mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Bagi pertuduhan pertama, Liow didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Lee Weng Poh, 27, di pekarangan Tokong Kou Ong Yah, Jalan Merdeka, Kampung Baru Ampang, di sini pada 6.30 pagi, 27 Okt lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh dengan niat menyerang penjawat awam, Melvin Cheong Mun Khai, 21, yang sedang menjalankan tugasnya sebagai anggota RELA di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Liow didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Leong Jun Jie, 21, dan Melvin di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadiah Malek Fauzie menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 untuk pertuduhan pertama, RM5,000 bagi pertuduhan kedua dan masing-masing RM5,000 bagi pertuduhan ketiga dan keempat dengan seorang penjamin.

Beliau turut memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan.

Peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan kesemua kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang boleh dijamin. “Jaminan hanya untuk menjamin kehadiran tertuduh ke mahkamah.

Pohon jaminan yang munasabah,” kata peguam itu.

Hakim Azrul membenarkan Liow diikat jamin RM7,000 untuk pertuduhan pertama, RM4,000 bagi pertuduhan kedua dan masing-masing RM3,000 untuk pertuduhan ketiga dan keempat dengan seorang penjamin. Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu Liow dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Hakim Azrul menetapkan 14 Dis ini untuk sebutan semula bagi kesemua kes itu.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, Melvin, Lee dan Leong masing-masing mengalami kecederaan di kepala, mata dan perut selepas mendakwa dipukul dan ditendang Liow setelah mereka memintanya mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas. — Bernama

Advertisement