Anda di sini

‘Datuk Kabi’ hadapi 27 tuduhan tipu di Klang

Advertisement

KLANG: Seorang ahli perniagaan yang menggelar dirinya ‘Datuk Kabi’ sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam bagi 27 pertuduhan menipu beberapa individu dalam urusan pemberian diskaun pembayaran bil Tenaga Nasional Bhd (TNB), yang membabitkan kerugian hampir RM2 juta, tahun lepas.

C. Kamaleshwaran, 38, yang telah beberapa kali dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan sama, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Tertuduh didakwa memperdayakan individu terbabit untuk mempercayai bahawa dia boleh menawarkan pemberian diskaun sebanyak 20 peratus bagi tunggakan bil elektrik daripada TNB sehingga mendorong mereka menyerahkan wang berkenaan kepadanya.

Kamaleshwaran didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di beberapa lokasi di sekitar daerah ini di antara September dan November tahun lepas.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Di mahkamah sama, isteri Kamaleshwaran, N. Bavani, 31, turut mengaku tidak bersalah terhadap 23 pertuduhan bersubahat dengan suaminya melakukan perbuatan itu sehingga mendorong mangsa mendepositkan wang ke dalam akuan miliknya di tempat dan tarikh yang sama.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi jika mahkamah mahu membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin, beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM25,000 kepada setiap tertuduh bagi setiap pertuduhan.

Peguam P. Visnuvarman, yang mewakili pasangan suami isteri itu, bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar RM25,000 bagi setiap pertuduhan tersebut.

Hakim Emilia Kaswati kemudian membenarkan Kamaleshwaran dibebaskan dengan jaminan RM270,000 dan Bavani sebanyak RM115,000 serta  menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan suami isteri itu menyerahkan pasport mereka kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis terdekat pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai. — Bernama

Advertisement