Anda di sini

17 November sebutan lanjut kes lelaki dituduh miliki syabu

Advertisement

MIRI: Mahkamah Majistret menangguhkan sehingga 17 November ini untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang menghadapi tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis syabu.

Manakala tertuduh dibenarkan dibebas dengan jaminan lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.

Penangguhan itu dibuat Majistret Zuraini Ali Musa setelah membenarkan permohonan pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor yang memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut memandangkan laporan kimia berhubung barang kes masih belum siap.

Chia TeckHua, 29, dari Kampung Tudan di sini menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 39A (1) akta yang sama.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebat tidak kurang daripada tiga kali dan tidak melebihi sembilan kali sebatan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh sebagai seorang yang bukan diberi kuasa sah di bawah ADB 1952, didapati ada memiliki dadah berbahaya jenis syabu dengan berat kasar 10.33 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9.30 pagi, 28 September lalu di rumahnya di Kampung Tudan di sini.

Dalam kes berasingan, seorang lelaki didenda RM3,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret semalam selepas mengaku bersalah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, Thian Min Chen supaya menjalani pengawasan oleh pihak berkuasa selama tempoh dua.

Thian, 39, dari Jalan Metro 1, Kuala Lumpur didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.35 pagi, 21 Januari tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan pihak berkuasa selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Advertisement