TAMBUNAN: Daerah ini memerlukan sebuah hospital moden bagi menaik taraf perkhidmatan kepada penduduk.
Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Sairin Karno berkata, ia memandangkan sebahagian rawatan perubatan di hospital daerah ini masih lagi menggunakan peralatan lama.
“Hospital ini juga amat memerlukan penambahan katil untuk para pesakit, sekurang-kurangnya 200 katil serta ruang wad yang lebih besar dan selesa terutama di bahagian wad rawatan pesakit buah pinggang, memandangkan jumlah pesakit semakin meningkat iaitu seramai 33 orang sejak 2005 sehingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mewakili Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Jospeh Pairin Kitingan mengadakan lawatan muhibah ke hospital itu.
Menurut beliau, dengan adanya sebuah hospital moden yang dilengkapi peralatan canggih serta beberapa doktor pakar, sudah tentu memudahkan dan menjimatkan wang rakyat.
Katanya, ketika ini penduduk terpaksa berulang-alik ke Keningau atau Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik.
Hadir sama pada lawatan itu ialah pegawai Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan dan para pemimpin setempat.