Anda di sini

Pencuci kereta dituduh membunuh sepupu

Advertisement
 Iskandar dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga sepupunya dalam kejadian malam 21 Okt lalu. — Gambar Bernama
DIDAKWA: Iskandar dihadapkan di Mahkamah Majistret Temerloh atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga sepupunya dalam kejadian malam 21 Okt lalu. — Gambar Bernama

TEMERLOH: Seorang pencuci kereta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga sepupunya dalam kejadian pada malam 21 Okt lalu.

Iskandar Zulkarnain Zolkifly, 26, dituduh membunuh Rabiatol Ain Mohamod, 27 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mati.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8.30 sehingga 9 malam di Taman Temerloh Makmor.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Iskandar turut didakwa mengikut Seksyen 15 (1) ( a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu kesalahan memasukkan dadah jenis morfin ke dalam badan, di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, awal pagi pada 22 Okt. Kesalahan mengikut seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Pegawai Pendakwa Inspektor Irmawathy Mohamad Yusof kemudian memohon kepada mahkamah supaya menetapkan satu tarikh baharu sementara menunggu laporan kimia. — Bernama

Advertisement