Anda di sini

Pemuda Uzbek lancar serangan di NY

Advertisement

Sewa trak pikap untuk menggilis orang awam sebelum cedera ditembak polis

 Trak pikap yang digunakan dalam serangan itu diteliti polis di Manhattan, New York semalam. — Gambar Reuters
KEKEJAMAN MELAMPAU: Trak pikap yang digunakan dalam serangan itu diteliti polis di Manhattan, New York semalam. — Gambar Reuters

NEW YORK: Lapan maut digilis trak pikap yang dipandu seorang lelaki di New York kelmarin dalam ‘serangan pengganas’ pertama di bandar raya itu sejak 11 September, 2001.

Sebelas lagi cedera parah apabila pemandu trak itu melancarkan serangannya sekitar jam 3.05 petang waktu tempatan hanya beberapa blok dari 9/11 Memorial, di bahagian barat Lower Manhattan, berhampiran sekolah di mana kanak-kanak dan ibu bapa mereka bersiap sedia untuk menyambut Halloween.

Perbuatan terorisme yang amat pengecut menyasari orang awam yang tidak berdosa,” kata Datuk Bandar Bill de Blasio.

Sumber penguatkuasaan undang-undang mengenal pasti penyerang sebagai Sayfullo Saipov, 29, yang pernah ditahan di Missouri tahun lepas atas kesalahan trafik.

Warga Uzbek itu yang tinggal di Tampa, Florida baru-baru ini menginap seketika di New Jersey di mana dia menyewa trak tersebut, menurut laporan.

Presiden Donald Trump mengecamnya sebagai ‘amat sakit’ dan ‘gila’.

President Uzbekistan semalam menawarkan bantuan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dalam siasatan mengenai serangan itu.

Uzbekistan bersedia untuk menggunakan semua tenaga dan sumber bagi membantu dalam siasatan perbuatan terorisme ini,” kata Shavkat Mirziyoyev lantas menyampaikan takziah kepada Trump dalam satu kenyataan dalam laman sesawang kementerian luar.

Kenyataan Mirziyoyev bagaimanapun tidak mengesahkan secara rasmi identiti atau kewarganegaraan penyerang.

Polis berkata, penyerang memandu sebuah trak pikap sewa dari Home Depot di sepanjang lorong pejalan kaki dan basikal tatkala pelancong dan penduduk tempatan menikmati suasana indah musim luruh, sebelum bertembung dengan sebuah bas sekolah, mengakibatkan dua orang dewasa dan dua kanak-kanak cedera.

Suspek kemudian keluar dari kenderaan itu sambil mengacukan senjata yang kemudian dikenal pasti sebagai senapang pelet dan senapang bebola cat, sebelum ditembak di abdomen oleh seorang pegawai polis dan ditangkap, kata polis.

Rakaman televisyen menunjukkan bangkai remuk trak pikap tersebut, beberapa basikal dan mayat berbungkus kain putih bergelimpangan di atas tanah.

Lapan maut, enam daripadanya lelaki yang mati serta-merta di tempat kejadian, manakala selebihnya disahkan mati di hospital.

Sebelas lagi kini dirawat atas kecederaan serius yang tidak mengancam nyawa, kata polis.

Lima warga Argentina antara yang maut, menurut kementerian luar di Buenos Aires.

Brussels pula berkata, seorang wanita Belgium maut dan tiga lagi warga Belgium cedera.

Sekutu Eropah dan presiden Mexico  mengecam serangan itu.

Media AS berkata, suspek melaung ‘Allahu Akbar’ dan ketua polis James O’Neill mengesahkan suspek membuat satu kenyataan ketika keluar dari kenderaan.

Jika kita meneliti modus operandi serangan, ia konsisten dengan apa yang berlaku sekarang dan membolehkan kami melabelnya sebagai insiden teroris,” jelas O’Neill.

Suspek telah dibedah dan dijangka selamat, lapor rangkaian AS.

FBI dan polis New York menggesa orang awam mengemukakan sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan.

Datuk bandar berkata maklumat awal mencadangkan serangan tersebut bercirikan peribadi.

Penyerang melancarkan serangannya di TriBeCa, antara kawasan kejiranan paling mahal di bandar raya itu, dan sejuru selepas itu, ibu bapa dan pelajar dilihat dipindahkan dari sebuah sekolah awam berhampiran.

Terdapat bau tembakan dan seorang lelaki terbaring di atas tanah, dipercayai ditembak,” kata John Williams, 22, yang tiba di tempat kejadian 30 saat kemudian ketika dalam perjalanan ke taman.

Apabila polis menembaknya, semua orang bertempiaran lari dan keadaan agak huru-hara,” kata Frank kepada rangkaian televisyen tempatan NY1.

Anggota polis bersenjata berat dikerahkan ke seluruh bandar raya dengan 8.5 juta penduduk itu yang menempatkan Wall Street, Broadway dan antara tarikan pelancong terbesar di AS.

Kawalan keselamatan diperketat di lapangan terbang, jambatan, terowong dan sistem transit massa, manakala beg digeledah di hab transit Grand Central Manhattan dan polis ditempatkan di sepanjang pelantar kereta api bawah tanah di Brooklyn.

Perarakan Halloween yang telah dirancang diteruskan mengikut jaduah meskipun dalam kawalan ketat dan kehadiran ramai anggota polis, manakala Gabenor Andrew Cuomo mengarahkan bangunan Pusat Dagangan Dunia yang baharu itu dinyalakan dengan lampu merah, putih dan biru bagi memperingati kemerdekaan dan demokrasi.

Pada Mei lalu, seorang veteran Tentera Laut AS memandu kereta secara melulu lalu bertindak merempuh pejalan kaki di Times Square, menyebabkan seorang gadis berusia 18 tahun maut dan mencederakan 22 yang lain dalam serangan yang menurut de Blasio bukan berkaitan terorisme. — AFP

Advertisement