Anda di sini

Pasangan muda terbabit dua kes bunuh

Advertisement
 Gambar tidak bertarikh serahan Jabatan Polis Salt Lake City menunjukkan Boutain dan isterinya. — Gambar Reuters
GANAS: Gambar tidak bertarikh serahan Jabatan Polis Salt Lake City menunjukkan Boutain dan isterinya. — Gambar Reuters

UTAH: Seorang pemuda berusia 24 tahun yang dituduh membunuh seorang pelajar Universiti Utah dari China dan juga disyaki terlibat dalam kejadian homisid minggu lepas di Colorado ditahan di Salt Lake City kelmarin, kata polis.

Austin Boutain ditahan reman tanpa sebarang insiden di sebuah perpustakaan awam, menurut Detektif Keith Horrocks dari Jabatan Polis Salt Lake City.

Boutain dan isterinya Kathleen Boutain, 23, juga dikehendaki dalam siasatan kes homisid di Golden, Colorado, menurut polis tempatan.

Mangsa dalam pembunuhan malam Isnin di Utah dikenal pasti sebagai ChenWei Guo, 23, yang memarkir keretanya dekat Ngarai Red Butte ketika ditembak mati dalam kejadian yang dipercayai cubaan rampasan kereta yang gagal, menurut polis.

Akhbar Salt Lake Tribune yang memetik kata polis melaporkan pasangan terbabit berkhemah di pergunungan pinggir bandar dan Kathleen telah pergi ke kampus universiti untuk melaporkan bahawa suaminya telah menyerangnya.

Guo dibunuh sejurus selepas itu, menurut laporan akhbar.

Kathleen kini dirawat atas kecederaan ringan dan ditahan reman atas dakwaan yang tidak berkaitan dengan kes susulan penangkapannya pada malam Isnin, menurut Ketua Polis Universiti Utah Dale Brophy.

Police di Golden berkata, mereka menemui mayat seorang lelaki berusia 63 tahun minggu lepas setelah diminta polis Utah melaksanakan pemeriksaan kebajikan di sebuah taman treler.

Kematian itu disiasat sebagai kes homisid dan kedua-dua suami isteri itu disyaki terlibat, menurut Jabatan Polis Golden.

Kelas dibatalkan kelmarin di Universiti Utah di mana pegawai mengingati Guo sebagai individu yang amat mesra, kreatif, bijak dan mudah bercampur gaul.

Pelajar prasains komputer dan penasihat rakan sebaya di Pejabat Perkhidmatan Pelajar dan Ilmuwan Antarabangsa universiti tersebut, Guo juga merupakan penterjemah dan penyokong teknologi di Gereja Jesus Christ of Latter-day Saints di Salt Lake City, menurut profil media sosialnya.

Bercakap di Beijing, jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying berkata, kedutaan China di Amerika Syarikat (AS) telah mengingatkan rakyatnya di AS untuk memberi perhatian kepada keselamatan ekoran isu ketara sosial dan keselamatan baru-baru ini di sesetengah kawasan, serta kekerapan insiden membabitkan senjata api dan pisau. — Reuters

Advertisement