Anda di sini

Kempen tanam 1 juta pokok seluruh Sabah

Advertisement
 Nurchaya (kanan) menyempurnakan simbolik penanaman pokok sambil dibantu oleh Dora (kiri) dan Mary (dua kiri).
TANAM POKOK: Nurchaya (kanan) menyempurnakan simbolik penanaman pokok sambil dibantu oleh Dora (kiri) dan Mary (dua kiri).

KOTA KINABALU: Kempen 1 Hati 1 Pokok dijangka akan mencapai sasaran penanaman satu juta pokok di seluruh Sabah menjelang akhir tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Nurchaya Arshad berkata, usaha itu kini sudah mencapai 90 peratus sejak ia dilancarkan awal tahun ini.

Kini kita hanya memerlukan sejumlah 41,046 pokok untuk ditanam bagi mencapai objektif yang disasarkan.

Kempen yang dilaksanakan dalam sekolah ini juga menggalakkan pelajar untuk menyertai kita bagi memulihara alam sekitar,” katanya ketika merasmikan Kempen 1 Hati 1 Pokok di Sekolah Kebangsaan St Francis Convent (M), di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kini murid-murid harus sebarkan mesej yang disampaikan menerusi kempen ini kepada keluarga, rakan dan saudara masing-masing.

Katanya, murid-murid turut digalakkan menyertai kempen itu dengan ‘satu pelajar, satu pokok’.

Saya percaya kempen ini mampu memelihara alam sekitar di bumi untuk generasi masa depan.

Seperti yang anda sedia maklum, tumbuh-tumbuhan menyumbang kepada persekitaran kehidupan kita dengan menghasilkan oksigen, meningkatkan kualiti udara, memulihara air, tanah dan menyokong habitat kehidupan liar,” katanya.

Oleh itu katanya, usaha memulihara alam sekitar adalah tanggungjawab bersama dan kempen kesedaran itu perlu bermula dari bangku sekolah.

Hadir sama pada majlis itu ialah Guru Besar SK St Francis Convent Dora Loi, Pengerusi Lembaga Pentadbir Sekolah St Francis Convent Mary Gomez serta Uskup Agung Kota Kinabalu Datuk John Wong dan tetamu kehormat yang lain.

Advertisement