Anda di sini

Janin haiwan disangka janin manusia

Advertisement
 PegawaiI polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan sebelum mengambil janin yang dibungkus dalam beg plastik berbalut kain biru untuk bedah siasat.
SIASAT: PegawaiI polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan sebelum mengambil janin yang dibungkus dalam beg plastik berbalut kain biru untuk bedah siasat.

TAWAU: Teka-teki berhubung status janin yang ditinggalkan oleh seorang lelaki di sebuah masjid di sini, terjawab apabila polis mengesahkannya sebagai janin haiwan.

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Fadil Marsus berkata hasil bedah siasat awal yang dijalankan mendapati janin itu bukanlah janin manusia seperti yang didakwa orang ramai.

Kita sahkan janin itu bukannya janin manusia,” katanya di sini pada Selasa, semasa mengulas dakwaan orang awam terdapat janin manusia yang baharu sahaja dibuang.

Katanya laporan awal kes itu diterima daripada orang awam yang mengatakan ada menemui janin yang tidak cukup sifat di atas lantai belakang kedai sukan di Fajar.

Fadil berkata janin itu diserahkan kepada salah seorang petugas masjid yang kemudiannya bertindak menghubungi polis pada jam 12. 45 tengah hari.

Utusan Borneo yang turut berada di lokasi terbabit difahamkan janin di dalam bungkusan plastik berjalur biru ungu itu dibawa oleh seorang lelaki berusia lingkungan 30-an.

Sumber awam mengatakan kejadian itu berlaku kira-kira jam 12.15 tengah hari selepas jemaah menunaikan Solat Zohor apabila seorang lelaki tiba-tiba muncul di masjid.

Lelaki terbabit dikatakan membawa janin itu di dalam bungkusan plastik yang berbalut baju biru dan meminta orang ramai supaya membantu menguruskan janin berkenaan.

Pada awalnya, lelaki terbabit menyangkakan janin itu perut ikan sebelum bertindak mengambilnya kerana beranggapan objek itu janin manusia yang baharu lahir.

Difahamkan, lelaki itu terpaksa beredar dari masjid dalam keadaan tergesa-gesa berikutan dihambat kesuntukan masa kerana perlu bergegas ke luar negara.

Dalam perkembangan berkaitan, sepasukan polis turut dilihat berada di masjid berkenaan, mengambil keterangan dan melihat rakaman kamera litar tertutup sebelum membawa keluar janin terbabit.

Advertisement