Anda di sini

Individu sandang gelaran kehormat perlu bertindak profesional: Lee

Advertisement
 Lee (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Fadzillah (tengah).
PENGHARGAAN: Lee (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Fadzillah (tengah).

KOTA KINABALU: Naib Pengerusi Kanan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye mengingatkan individu yang mempunyai hak melalui gelaran kehormat agar bertindak secara profesional.

Beliau berkata individu yang mempunyai gelaran kehormat tidak sepatutnya menyalahgunakan anugerah berkenaan.

Beliau mengingatkan mereka yang telah menerima gelaran atau anugerah daripada kerajaan agar sentiasa memberikan contoh yang baik dan tidak menyalahgunakan kedudukan mereka.

Mereka mesti memandang diri sendiri sama seperti masyarakat biasa dan jangan menggunakan kedudukan mereka untuk mengancam atau membahayakan orang lain terutamanya terhadap penjawat awam kita.

Ia kerana, dengan berbuat demikian tidak hanya mencerminkan imej buruk terhadap orang itu tetapi juga mereka yang telah menerima penghargaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang individu bergelar ‘Datuk Seri’ memukul tiga anggota RELA di Tokong Kau Ong Yah Ampang yang tular di laman sosial sejak Jumaat lepas.

Melalui siasatan polis, rakaman CCTV sekitar jam 6.30 pagi itu menunjukkan seorang lelaki berumur 29 tahun bergelar Datuk Seri telah menendang dan menumbuk tiga anggota RELA berumur antara 19 dan 27 tahun selepas beliau (Datuk Seri) diarahkan untuk mengalihkan kenderaan jenis Toyota Vellfire yang menghalang lalu lintas berhampiran tokong berkenaan.

Datuk Seri berkenaan telah menyerah diri kepada polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan serta menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas mereka.

Lee berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada semua individu yang mempunyai gelaran kehormat agar menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Ia juga sebagai pengajaran kepada mereka agar tidak menyalahgunakan gelaran atau status ini,” katanya selepas lawatan MCPF ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sabah Senior Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed.

Sementara itu, Lee berkata Bajet 2018 akan memberi manfaat kepada penjawat awam terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, beliau percaya terdapat beberapa isu yang perlu diambil perhatian seperti kuarters polis sedia ada.

Sebenarnya, saya sedang menunggu peruntukan untuk penyelenggaraan kuarters polis sedia ada.

Saya percaya ini sangat penting kerana banyak kuarters ini sudah kelihatan usang dan ada antaranya mempunyai masalah dalaman.

Jadi, saya berharap kerajaan dapat menyalurkan peruntukan melibatkan penyelenggaraan kuarters ini pada masa akan datang,” katanya.

Melalui Bajet 2018, kira-kira RM9 bilion akan diperuntukkan kepada PDRM yang mana RM720 juta untuk membina 11 ibu pejabat polis, enam balai polis dan peningkatan aset seperti kenderaan serta senjata api.

Daripada jumlah itu, kira-kira RM170 juta akan digunakan untuk menaik taraf peralatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk sistem IPDRM, RM100 juta untuk menaik taraf sistem komunikasi dan RM10,000 untuk unit mampu milik PDRM Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia.

Advertisement